Oleh: Dr Azman Ibrahim
Merujuk kepada laporan sebuah ahkbar harian tempatan berkaitan isu
kenaikan harga ikan sebanyak 30 peratus berbanding biasa di negeri
Terengganu khususnya serta di tempat lain amnya, sejak kenaikan harga
minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen awal September lalu.
Rata-rata peniaga ikan memaklumkan bahawa harga kebanyakan ikan ini
terpaksa dinaikkan disebabkan permintaan tinggi dan dipengaruhi kenaikan
harga minyak.
Walaupun kebanyakan nelayan mendapat subsidi diesel daripada
kerajaan, tetapi ia masih belum mencukupi berbanding yang mereka gunakan
untuk ke laut setiap hari. Sebab itulah harga ikan agak tinggi.
Sekadar mengambil contoh beberapa jenis ikan yang mengalami kenaikan
harga antaranya, harga bagi sekilogram harga ikan cencaru dan selayang
mencecah RM8 berbanding harga biasa RM6, ikan kembung dan ikan kerisi
pula RM12, ikan aya RM10, tenggiri RM30, ikan merah RM30 serta banyak
lagi kategori ikan yang lain.
Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian
pengeluaran bermula dari laut, ladang atau kilang hinggalah sampai ke
tangan pengguna. Peniaga memang terpaksa untuk menaikkan harga barangan
dan perkhidmatan walaupun akhirnya membebankan pengguna.
Sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun
harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan
keperluan, hakikatnya ianya hanya jaminan kosong!
Minyak adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa sahaja yang
berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi
kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut
‘magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum’.
Kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran,
pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian,
pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan
sampai ke tangan pengguna.
Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga
barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu
penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.
***Penulis adalah Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.