JOHOR BAHRU - Sejumlah 4,237 calon yang menyerahkan borang pencalonan pemilihan Umno Sabtu lepas akan bertanding pelbagai jawatan di Umno bahagian dan tiga sayap parti di Johor, setakat hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Johor Abdul Rahman Sabri berkata 40 daripada keseluruhan 4,277 anggota yang mendaftar pencalonan mereka menarik diri dalam tempoh bertenang 72 jam yang diberikan sehingga 5 petang emalam.
Penarikan diri itu melibatkan 17 anggota bagi pemilihan anggota jawatankuasa bahagian, 19 (Pemuda) dan empat (Puteri) manakala tiada penarikan diri diterima bagi sayap Wanita negeri, katanya pada sidang akhbar di pejabat Perhubungan Umno Johor di sini hari ini.
Pemilihan itu melibatkan 1,844 calon peringkat bahagian, 816 (Wanita), 970 (Pemuda) dan 607 untuk Puteri.
Beliau berkata senarai akhir calon bagi negeri ini akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno pusat setelah saringan dilakukan dengan Jabatan Insolvensi dan mahkamah sehingga 7 Oktober.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian serta pemilihan bagi jawatan Exco pusat untuk ketiga-tiga sayap diadakan serentak pada 12 Okt. Bagi mesyuarat bahagian dan pemilihan bahagian serta MT diadakan pada 19 Oktober.
Seramai 10 anggota menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin (Pagoh); Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong); dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang) yang juga Menteri Besar Johor; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri (Ledang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi (Sri Gading).
Lima menang jawatan timbalan ketua bahagian termasuk Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (Pontian) manakala tiga anggota juga menang tanpa bertanding jawatan naib ketua bahagian.
Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor Asiah Md Arif (Kota Tinggi) adalah antara 12 calon menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita bahagian manakala 10 anggota bagi jawatan naib ketua wanita.
Lima anggota menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian dan seorang bagi jawatan naib ketua Pemuda bahagian. Seramai 18 calon menang tanpa bertanding jawatan ketua Puteri bahagian manakala 19 jawatan naib ketua Puteri bahagian.
Sehingga pukul 6.30 petang, hanya tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Pahang mengumumkan jumlah anggota yang menarik diri daripada bertanding. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.