Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM – Golongan ulama dipelawa menyertai Umno bagi membantu memperkasakan imej Islam dalam parti itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, ketika ini, imej Umno itu sendiri tidak mempotretkan Umno sebagai parti Islam.
Perkara itu katanya secara tidak langsung telah menyebabkan golongan ulama tidak berani menghampiri Umno.
"Saya setuju seperti yang dikatakan Datuk Mukhriz (Mahathir) Umno memang kekurangan ulama.
“Golongan ulama perlu membantu Umno untuk mengubah persepsi masyarakat yang kononnya Umno tidak memperjuangkan Islam.
“Sedangkan Umno telah memperjuangkan Islam sejak sekian lama," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, adalah wajar perkara itu dilaksanakan supaya Umno tidak dilihat membelakangkan agamawan dalam parti itu.
“Ini yang kita perlu ubah. Umno daripada dulu ada tokoh-tokoh agama hebat seperti Tan Sri Wan Mokhtar (Ahmad), Tan Sri Yusof Noor, (Allahyarham) Tan Sri Abdul Hamid Osman. Biasanya, mereka ini, kalau bertanding (dalam Majlis Tertinggi), akan dapat nombor satu atau dua.
“Sekarang ini tokoh-tokoh agama tetap ada, cuma tidak dapat markah tinggi dalam parti,” kata Mukhriz.
Sementara itu, Fathul Bari berkata, disebabkan imej Umno itu, golongan ini merasakan mereka tidak mempunyai ruang untuk berada di dalam Umno.
Katanya, ulama dan agamawan perlu mengambil peluang tersebut untuk memperkasakan Islam dalam apa jua bidang termasuk soal kewangan, sosial, pentadbiran dan sebaginya.
"Sekarang ini Umno telah buka ruang secara jelas, kita (agamawan) telah ada paltform.
"Inilah antara salah satu cara untuk kita lakukan perubahan, jadi sangat rugi kalau kita tak manfaatkan peluang ini untuk melakukan perubahan," tegasnya.
Dalam pada itu, Fathul Bari menambah, usaha Umno untuk meramaikan ulama dalam parti itu sangat dialukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.