Rabu, 31 Julai 2013

Tiga kes tembakan semalam bukti jenayah makin meningkat

 

Roketkini.com

GEORGE TOWN,: Tiga kes tembakan yang berlaku semalam, termasuk pembunuhan Pengasas Bank Pembangunan Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, di tengah-tengah Kuala Lumpur pada waktu siang hari, membuktikan jenayah semakin meningkat bukan lagi persepsi tetapi bukti kegagalan polis dan keperluan mendesak untuk keluar daripada obsesi terhadap musuh politik Barisan Nasional (BN).

 Dua lagi kes tembakan menyebabkan seorang terbunuh di Ipoh dan cedera di Bukit Mertajam. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata sebelum ini polis menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang membenarkan banyak samseng dibebaskan menyebabkan berlakunya peningkatan jenayah bunuh kalangan gangster.

Katanya, pihak polis tidak lagi boleh menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat terhadap pembunuhan Hussain kerana beliau bukan penjenayah, tetapi seorang tokoh bank antarabangsa yang dihormati.

“Kes pembunuhan terbaru itu mengejutkan rakyat Malaysia yang menyedari betapa serius kegagalan Kerajaan Persekutuan memastikan ketenteraman dan keselamatan awam, terutamanya kes tembakan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, di Bahau, Sabtu lalu yang juga berlaku di siang hari.

 “Kes tembakan R Sri Sanjeevan itu pula dikaitkan hubungan polis dengan kongsi gelap, yang menyebabkan kredibiliti dan integriti pihak polis merosot teruk,” katanya dalam kenyataan akhbar, di Komtar, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan untuk membanteras jenayah, bukannya menjadi alat politik BN.

“Statistik tidak pernah berdusta dan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri memberitahu, sejumlah 112,583 anggota polis berpakaian seragam, 10,150 (9%) berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah, 4,224 (3.8%) dalam Siasatan Jenayah Narkotik dan 1,663 (1.4%) di Jabatan Siasatan Komersial tetapi tidak menyatakan berapa ramai yang berada di Cawangan Khas.

“Hanya 9% daripada anggota polis yang terbabit secara langsung membanteras jenayah di luar sana dan kenyataan itu tidak boleh diterima. Malah jika sertakan sekali Narkotik dan Jenayah Komersial, hanya 14.2% daripada keseluruhan pasukan polis memberi tumpuan kepada membanteras jenayah di jalanan.

“Angka itu jelas terlalu rendah. Bilangan anggota polis yang terbabit dalam membanteras jenayah tidak harus 14.2% tetapi sekurang-kurangnya 50%. Dalam erti kata lain perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota polis berpakaian seragam berkawal di tempat awam, bukannya 16,037 orang sahaja,” tambahnya.

Menurut Guan Eng, walaupun Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang paling selamat di Malaysia, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pasukan polis Pulau Pinang untuk memastikan negeri itu kekal selamat.

 Selain menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) untuk menjalankan kawalan komuniti di taman perumahan, katanya, rumah pangsa dan kampung, kerajaan negeri secara aktif memasang CCTV untuk menggabungkan tenaga kerja manusia dengan teknologi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memasang 70 dan 55 CCTV tambahan di kawasan masing-masing menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ini adalah tambahan 125 CCTV kepada 60 CCTV di MPPP dan 44 CCTV di MPSP yang sedia ada yang akan menelan kos sebanyak RM3 juta.

“Bagi mengatasi masalah kekurangan anggota polis bagi memantau 24 jam CCTV yang bertambah itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan untuk mengambil kakitangan atas perbelanjaan sendiri bagi melakukan tugas pemantauan.

Ini akan membolehkan anggota beruniform melaksanakan tugas teras mereka, meronda jalan raya untuk memastikan keselamatan orang awam daripada jenayah,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.