KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, media kawalan Umno-BN lebih banyak merosakkan keharmonian negara.Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek berhubung cadangan undang-undang penyalahgunaan media sosial.
“Shabery harus sedar bahawa media Umno-BN lebih banyak merosakkan keharmonian negara dengan menimbulkan isu perkauman terutama selepas PRU lalu,” katanya kepada Keadilandaily.
“Mengapa tindakan segera tidak diambil terhadap mereka? Jelas undang-undang yang dikaji itu berat sebelah dan cuba menafikan demokrasi maklumat yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.
Shabery mengulas cadangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menggesa kerajaan Malaysia mencontohi Singapura yang mewajibkan lesen kepada semua laman web berita di negara ini.
Muhammad Nur menempelak percubaan Shabery untuk menjadikan Singapura sebagai contoh kerana negara republik itu sebenarnya gagal mengamalkan demokrasi dengan baik.
“Lihat balik laporan Indeks Kebebasan Akhbar. Singapura menduduki tangga ke-135. Aneh kalau Malaysia mahu meniru negara yang berada jauh dibelakangnya,” kata Dr Manuty.
Pengerusi KEADILAN Perak itu menambah, lebih memburukkan keadaan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas akhbar rasmi Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan, Harakah dan The Rocket.
“Tindakan itu menunjukkan Umno-BN tidak sukakan kebebasan maklumat, sebaliknya parti itu masih kuat dengan nafsu politik dendamnya.
“Ini menunjukkan Malaysia berada dalam kegelapan maklumat. Fasa diktator Mahathirisme sedang berlaku bagi menghalang kebangkitan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.