Dr Mahathir telah pergi ke
Putrajaya untuk membantu calon BN Tengku Adnan dengan membidas Husam Musa dan
PAS. Bekas Perdana Menteri ini tidak duduk senang dan beliau hari ini kabarnya
akan ke Kelantan untuk membantu Ibrahim Ali, calon bebas di Pasir Mas
di sana.
Dr Mahathir telah pergi ke
Putrajaya membantu calon BN sehari selepas Putrajaya di datangi oleh puluhan
ribu manusia untuk bersama Tok Guru Nik Aziz dalam lawatan Mursyidul Am PAS itu
ke Putrajaya dua hari lepas. Berbeza dengan kehadiran Dr Mahathir, TGNA tidak
bercakap banyak dengan liputan media massa perdana. Tetapi kehadiran beliau
sahaja sudah cukup untuk menjadikan UMNO lebih-lebih lagi Dr Mahathir ‘makan
tak kenyang , mandi pun tak basah’.
Mahathir membidas Husam Musa,
calon PAS di Putrajaya dan menganggap Husam bukan lawannya untuk berdebat
kerana beliau lebih tua dari Husam yang beliau anggap seperti kanak-kanak
sahaja. Tetapi jika benar Husam itu masih budak jika dibandingkan dengan beliau,
tidak ada sebab Dr Mahathir merasa takut dengan kehadiran Husam sebagai calon
di Putrajaya itu. Mahathir tidak perlu membidas beliau (Husam) dan seterusnya
datang ke Putrajaya untuk berkempen melawan Husam itu.
Mahathir perlu bertanya kenapa
TGNA mendapat sambutan sebegitu rupa sedangkan pemimpin UMNO yang telah
memerintah yang sepatutnya lebih mampu mempengaruhi orang ramai tidak mendapat
sambutan seperti TGNA itu? Adakah UMNO menganggap orang ramai itu bodoh dan
tidak siuman dengan menyambut TGNA dengan begitu meriah sekali?
Keadaan sebegini mesti
bersebab dan sebabnya itulah yang pimpinan BN tidak dapat kefahaman kenapa
TGNA telah menjadi ikutan ramai. Sikap orang ramai membelakangkan pihak yang
memerintah itu bukannya berlaku tanpa sebab. Ingat, kedatangan pimpinan PAS itu
disambut oleh orang ramai tanpa diangkut oleh bas-bas yang diuruskan oleh
jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan
BN itu.
PAS tidak perlu membawa
palajar-palajar UiTM dengan membayar seratus ringgit seorang seperti yang
dilakukan oleh UMNO untuk menampakkan kemeriahan lawatan pimpinan BN dalam
lawatan-lawatannya ke mana-mana. Kehadiran TGNA di Putrajaya jumaat lepas tidak
disediakan dengan nasi bungkus atau karipap-karipap tebal. Mereka datang
dengan sukarela dan berbelanja sendiri.
Kalau begitulah keadaannya, UMNO
dan pemimpin-pemimpin mereka sepatutnya menumpukan tenaga mereka untuk bertanya
kepada diri sendiri, kenapa BN dan UMNO tidak mendapat sambutan secara sukarela
seperti yang di alami oleh PAS? Sebabnya mesti ada kepada UMNO dan pimpinan
mereka sendiri.
Jawapannya sememangnya ada kepada
UMNO sendiri, tetapi hanya UMNO tidak mahu atau tidak tahu yang kelemahan
mereka dimata rakyat ramai itu terlalu jelas tanpa disedari oleh pimpinan
UMNO itu sendiri. Mereka (UMNO) hanya menumpukan masa untuk membidas pimpinan
seperti TGNA terus menerus tetapi bidasan mereka itu tidak juga mampu juga
melemahkan sokongan terhadap kepimpinan seperti TGNA ini.
UMNO khususnya Dr Mahathir, tidak
usah bersusah payah membidas orang itu dan orang ini untuk mendapatkan sambutan
ramai. UMNO sudah terlalu kesempitan masa untuk membetulkan keadaan serta
kelemahan mereka. Lagi pun sampai ke saat ini pun UMNO belum lagi mendapatkan
sebab kenapa pimpinan PAS seperti TGNA kian hari kian kuat.
Dr Mahathir yang telah mengaku
berjasa kepada negara masih terkial-kial untuk mendapat perhatian rakyat.
Sesungguhnya Dr Mahathir dan pimpinan UMNO yang lain melakukan introspeksi
terhadap mereka sendiri.
Kaji lah kenapa lawatan Mahathir
tidak mendapat sambutan sedang kedatangan TGNA ke Putrajaya disambut oleh
puluhan ribu manusia berbilang kaum itu tanpa di punggah dengan ratusan bas-bas
atau nasi bungkus dan karipap-karipap tebal itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.