Isnin, 1 April 2013

Tiada kompromi: DAP tegas angkat Melayu jadi MB Negeri Sembilan

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: DAP tetap melantik orang Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat oleh rakyat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan wartawan Roketkini.com baru-baru ini.

Kenyataan ini sekaligus menafikan pelbagai tuduhan jahat dan fitnah yang mendakwa orang bukan Melayu akan dilantik menjadi Menteri Besar jika PR memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Menurut Loke, fitnah sedemikian merupakan ‘modal politik lama’ yang sama ketika oposisi berjaya menawan DUN Perak pada PRU 2008 lalu.

“Fitnah begini sengaja digembar-gemburkan ejen propaganda upahan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang semakin mesra dan menyokong PR.

“Isu itu tidak sepatutnya timbul. Sudah jelas pendirian DAP. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sekarang, hubungan kerjasama PR negeri ini sangat baik. Kita bertemu pelbagai lapisan masyarakat melalui program seperti ceramah dan aktiviti lain. Ini yang menimbulkan ketakutan mereka (UMNO-BN),” katanya.

Ditanya mengenai situasi kempen PR negeri Sembilan, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, akar umbi ketiga-tiga parti mempunyai persefahaman yang kuat dan sentiasa bersama dalam kempen turun padang yang dijalankan.

“Semua parti dalam PR perlu menumpukan agar kempen dijalankan bersama. Ini untuk memastikan penyokong akar umbi akan memberi undi kepada satu sama lain misalnya pengundi Cina akan memilih PAS dan PKR manakala pengundi Melayu akan memilih DAP,” ujar beliau.

Tambahnya, PR juga bersedia mengambilalih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada BN jika memenangi majoriti kerusi DUN dan akan memastikan pelantikan Menteri Besar akan diselesaikan pada malam keputusan diumumkan.

“Kita sudah bersiap sedia untuk mentadbir bermula pada hari pertama lagi,” katanya.

Berkongsi pendirian yang sama, Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, UMNO-BN memang sangat terdesak apabila terpaksa mengitar semula isu perkauman sebagai modal politik.

Menurut beliau, dalam sesi wawancara yang lain, antara isu yang sering dimainkan UMNO ialah isu “Menteri Besar Cina” dan isu “Melayu hilang kuasa.”

“Majoriti adalah orang Melayu. Kita semua tahu, jadi untuk menempelak fitnah UMNO-BN, pada pelancaran manifesto PR Negeri Sembilan 3 November 2012 lalu, kita sudah tegaskan sekiranya PR menang, orang Melayu akan menjadi Menteri Besar.

“Kami (DAP) tidak pernah bangkitkan isu Menteri Besar daripada orang Cina, ini kerja UMNO mahu menakutkan orang Melayu. Sebab itu kami memang beri fokus menjelaskan perkara itu dalam program di kawasan pedalaman,” katanya yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan pada November tahun lalu, satu persefahaman dimeterai PR Negeri Sembilan yang berikrar mendokong dan menjunjung Undang-undang Tubuh Negeri itu serta Tonggak Nan 9 yang antara lain adalah ikrar untuk membela keseluruhan rakyat termasuk komuniti Orang Asal jika diberi mandat mentadbir negeri itu.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.