Roketkini.com
GELANG PATAH,: Perdana Menteri, Najib Razak sudah terlambat untuk menawan semula hati pengundi India kerana komuniti itu sudah sedar bahawa tindak-tanduk beliau dan kerajaan Barisan Nasional pimpinannya sekadar mahu meraih undi.
Demikian disifatkan oleh Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran yang berkata usaha kerajaan BN pimpinan Najib untuk mengatasi masalah pokok kaum India terlalu sedikit walhal masalah ini sudah berlanjutan sejak puluhan tahun lalu.
“Perdana Menteri bercakap mengenai ‘nambike’ (kepercayaan) dan menyeru komuniti India supaya menyokong BN tetapi adakah selama ini kerajaan BN mendengar rintihan dan penderitaan yang dihadapi mereka?” soal beliau dalam majlis Deklarasi Gelang Patah di sini, malam tadi.
Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, antara contoh mudah ialah masalah melibatkan kemiskinan bandar, kad pengenalan, sekolah Tamil dan peluang pekerjaan.
“Kita telah banyak kali bangkitkan di parlimen untuk segera tunaikan janji-janji mereka ini. Tapi bagaimana ia akan diselesaikan dengan tempoh pilihan raya yang sangat hampir?” soalnya lagi.
Menurut beliau, kini sekurang-kurangnya 70 peratus komuniti India tinggal di kawasan bandar setelah mereka berhijrah akibat pemecahan estet-estet seluruh negara.
“Sekarang, 70 peratus dari mereka kini kebanyakannya berada dalam situasi “miskin bandar” yang dihantui dengan kadar jenayah yang tinggi, pengangguran dan masalah sosial lain.
“BN terbukti gagal bantu komuniti India dengan serius. Saya berasa sangat sedih tetapi hakikatnya sebahagian besar komuniti India negara ini merasakan mereka adalah ‘warganegara kelas ketiga’’,” jelas Kulasegaran.
Atas kegagalan perancangan dan perlaksanaan dasar kerajaan BN, komuniti ini antara yang terjejas teruk akibat ketidak seimbangan sosial dan ekonomi negara, malah banyak masalah melibatkan komuniti ini tidak mampu ditangani dengan serius oleh BN.
Justeru, Kulasegaran menegaskan bahawa DAP dan Pakatan Rakyat berikrar untuk menyelesaikan masalah yang melanda ini dan menjadikan Malaysia, negara yang lebih baik untuk semua.
Deklarasi Gelang Patah merupakan bukti pengiktirafan DAP terhadap sumbangan dan perjuangan komuniti India selama ini di Malaysia. Ia mengandungi 14 perkara yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang jauh lebih baik bagi komuniti itu dan mahu hak dan taraf hidup mereka terjamin dan dilindungi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.