Ahad, 28 April 2013
Ribuan warga Myanmar, Kemboja dapat IC, undi Najib di Pekan?
Oleh Arif Juhani
PEKAN : Calon KEADILAN Pekan, Fariz Musa mendedahkan, ribuan pendatang asing dari Myanmar dan Kemboja dikesan menetap di Pekan dan mendapat pelbagai hak keistimewaan melebihi penduduk tempatan.
Katanya, penemuan ini amat mengejutkan kerana berlaku dalam parlimen yang dikuasai sekian lama oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
“Di Kampung Sungai Miang sebagai contoh, ramai warga Myanmar di situ mendapat hak keistimewaan daripada kerajaan seperti rumah, lot tanah untuk bertani dan paling dikesali pemberian kad pengenalan untuk mereka mengundi.
“Jika ada pendatang ini beragama Islam, setiap bulan akan diberikan zakat sebanyak RM600 dan kelebihan seperti ini tidak diterima oleh penduduk Pekan yang beragama Islam dan Bumiputera,” katanya kepada Keadilan Daily.
Tambah Koordinator NGO Jingga 13 itu, ketika di Merchong, beliau bertemu seorang warga emas lingkungan 60 tahun dalam sebuah rumah yang uzur tanpa bekalan air dan elektrik.
“Saya diberitahu, beliau hanya mendapatkan air dari longkang dan parit untuk kegunaan seharian dan sebenarnya masih ramai lagi penduduk Pekan mengalami kedaifan serupa.
“Menurut mangsa, caj deposit lebih RM1,000 yang dikenakan untuknya mendapat bekalan elektrik sangat jelas tidak mampu dibayar,” kata Fariz.
Dalam perkembangan berkaitan, Fariz menyatakan, wujud isu warga emas lain yang dinafikan hak mendapatkan bantuan kebajikan kerana bukan ahli Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.