Demikian kata calon PKR kerusi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, hanya bekas Menteri Pengangkutan itu sahaja yang layak menentangnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di kawasan itu memandangkan Tee Keat mempunyai rekod prestasi yang baik sepanjang menjadi wakil rakyat.
Pengarah Strategi PKR ini berkata, rakyat Pandan mungkin berpuas hati jika Tee Keat yang mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) itu pada PRU13 berbanding Gary Lim yang masih kurang dikenali rakyat setempat.
Ini adalah disebabkan Tee Keat digugurkan pada pilihan raya kali ini susulan tindakan berani bekas Presiden MCA itu, antara lain membongkarkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
"Dalam BN, orang yang baik macam Ong Tee Keat tak ada tempat, BN campak keluar dan beliau tidak jadi calon lagi.
"Kalau Ong Tee Keat bertanding pasti baik, paling kurang pengundi Pandan dapat calon PKR dan BN yang sama hebat, barulah menarik sikit," katanya semasa berucap di hadapan lebih 2,500 penduduk Cheras Indah pada Ceramah Perdana PRU13 Parlimen Pandan, di sini, malam tadi.
Oleh itu dakwa Rafizi, tidak hairan sejak hari penamaan calon pada 20 April lalu hingga ke hari ini, MCA masih belum memulakan gerakan kempen untuk mempertahankan kawasan tersebut pada 5 Mei ini.
"Sampai sekarang MCA masih belum berkempen, ini semua salah (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek," katanya.
Dakwanya nasib yang sama turut menimpa bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang tidak tercalon di kawasan Kuala Kangsar susulan desakannya mahu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno dua tahun lalu susulan isu NFC.
"Dia tak makan duit, tak curi tanah di Shah Alam, orang macam Datuk Kamilia susah kita nak menang kalau dia bertanding.
"Dia bercakap benar masa skandal lembu (NFC). Dalam Umno, orang yang baik, berani, tak makan rasuah, ada integriti, tak ada tempat dalam BN," katanya sambil menegaskan, jika rakyat mahu pentadbiran Putrajaya dibersihkan daripada pelbagai salah laku dan penyelewengan, pengundi wajib menyokong Pakatan Rakyat (PR) menggantikan BN di Putrajaya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, PR akan menawarkan dua aliran pendidikan sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.
Sistem pendidikan dua aliran itu bertujuan mengelakkan mana-mana pelajar daripada tercicir untuk melanjutkan pelajaran mereka tanpa bergantung semata-mata kepada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Satu aliran biasa cemerlang masa SPM dan satu lagi dinilai berdasarkan bakat dan kemahiran teknikal serta praktikal.
"Setiap anak yang berbakat kita akses teknikal dan praktikal, kita masukkan dalam program perintis negara.
"Dengan cara itu pelajar akan dapat peluang kedua untuk lanjutkan pelajaran," katanya mengulas manifesto PR yang akan membina lima universiti teknikal apabila memerintah di peringkat pusat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.