Oleh Aedi Asri
PETALING JAYA : Pakatan Rakyat sekali lagi mendesak
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar bertindak terhadap bukti yang
dikemukakan berhubung pemindahan peti undi meragukan di Kajang.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPR perlu
berhenti berdolak dalih, memandangkan pilihan raya sudah semakin hampir.
“Banyak bukti dikemukakan dan kita mendesak sekali lagi SPR (untuk)
betulkan (perkara ini). Jangan biarkan keraguan dan kecurigaan
bertambah, dan jangan izinkan penipuan berlaku.
“SPR harus jawab, jangan dolak dalih kerana pilihan raya sudah dekat,
dan jangan anggap (rakyat) merestui penipuan seperti ini, kerana angka
(dan bukti) telah dikemukakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
KEADILAN pagi tadi.
Pada 25 April lalu, KEADILAN mendedahkan, kenderaan SPR didapati
memindahkan peti undi ke sebuah premis meragukan di Jalan SC2, Pusat
Perindustrian Sungai Chua, Kajang.
Pada
sidang media itu juga, Anwar turut menunjukkan gambar peti undi dibalut
polister dan dicop logo SPR yang dipindahkan menggunakan kenderaan
Pajero.
Ketika itu juga, beliau turut mengemukakan analisis KEADILAN
menunjukkan 28,593 pengundi dalam daftar pemilih adalah warganegara
Indonesia, Filipina, Pakistan dan Bangladesh, serta 42 nama dari negara
tersebut yang menjadi pengundi pos polis dan angkatan tentera.
Memetik Bernama 25 April lalu, SPR mendakwa proses
penghantaran peti undi adalah perkara biasa, serta daftar pengundi
adalah muktamad dan Anwar tiada hak mempersoalkan kewarganegaraan
mana-mana pihak.
Ketika ditanya wartawan, Anwar menyifatkan jawapan SPR sebagai lemah, dan gagal menjawab persoalan khusus yang dikemukakan.
“Mereka tidak beri maklum balas jelas, serta (respon) kepada soalan
spesifik tentang daftar pemilih…(Walaupun) kita beri bukti jelas,” kata
Anwar lagi.
“Munasabah sangatkah bangunan seburuk ini jadi tempat simpanan rasmi
SPR, sepertimana yang disebut SPR,” katanya sambil menunjukkan
gambar-gambar premis itu.
Menurut Anwar, dokumen seperti sampul No. 9P, Bahagian Pilihan Raya Negeri dengan cop rasmi SPR juga ditemui di kawasan itu.
“Jadi bgaimana dokumen yang begini rahsia dan penting didapati di
sebuah kedai yang tidak didaftar langsung sebagai milik SPR,” katanya.
Berhubung 42 pengundi pos warga asing, beliau berkata, tidak ada warga asing yang menjadi anggota keselamatan.
“Saudara tahu tidak ada orang Bangladesh jadi anggota tentera atau polis…(Kes ini) mesti dijawab,” katanya.
Ketika ditanya adakah laporan akan dibuat kepada SPR, Anwar berkata:
“Itu tangungjawab SPR (untuk bertindak). Nak lapor apa lagi. Dia nak
ambil, ambillah (bukti) dokumen ini semua. Saya hanya perlu berkempen”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.