Rabu, 27 Mac 2013

“BN takut”: DAP desak bubar segera Parlimen dan DUN

Roketkini.com



SEREMBAN: “Barisan Nasional (BN) takut kalah!” itu adalah kesimpulan paling sesuai yang dibuat  Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez berikutan kegagalan kerajaan BN membubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.

“Esok (hari ini) DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri. Setakat hari ini sudah lima tahun 18 hari. Dalam Artikel 55 Perlembagaan Persekutuan, satu penggal ialah lima tahun. Tapi Perdana Menteri, Najib Razak tidak berani bubar Dewan Rakyat, kenapa?” soal beliau dalam ceramahnya di DUN Temiang, malam tadi.

Menurutnya, disebabkan BN ‘takut kalah’, maka tidak hairanlah jika BN melambakkan segala macam bantuan tunai dan insentif kepada rakyat untuk memenangi hati rakyat agar dipilih semula pada pilihan raya umum akan datang.

Fernandez pada masa yang sama melontarkan persoalan adakah lambakan bantuan itu sesuatu yang wajar dan jujur walhal rakyat sudah lama bersusah-payah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan.

“Sebelum 2008 adakah BN bagi bantuan sebegini? Selama 56 tahun orang Melayu, orang India dan orang Cina negara ini bayar cukai kepada kerajaan. Bayangkan, beli kereta sahaja cukai eksais mencecah 60 peratus,” katanya.

Justeru bagi memperbetulkan pelbagai ketempangan, penyelewengan dan urus tadbir yang dilakukan BN selama memerintah 56 tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Sembilan menyokong agenda perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia yang baru.




“Inilah saat paling berharga buat rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai pula berkata, kemenangan PR di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada negeri yang ditadbirnya tetapi seluruh negara.

“Banyak masalah dapat diselesaikan di negeri PR. Ini memberi tekanan kepada BN,” katanya.

Katanya, tidak hairanlah jika BN turut meniru dasar kebajikan yang dilaksanakan di negeri PR cuma bezanya bantuan di negeri PR diberi setiap tahun, bukannya lima tahun sekali seperti yang dilakukan BN sekarang ini.

“Jika PR berjaya menafikan majoriti BN di Negeri Sembilan dan membentuk kerajaan, kita akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan isu lama yang masih belum selesai seperti isu hak milik tanah, masalah banjir dan banyak lagi,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.