Rabu, 27 Februari 2013

Wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM tidak wajar


Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

TERAS Pengupayaan Melayu menegaskan pengumuman Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang mempertimbangkan untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM adalah tidak wajar.

Kami berpendapat sejak PPMSI di umum untuk dimansuhkan dan program memperkasa pengajaran Bahasa Inggeris diperkenalkan, adalah memadai untuk memastikan pelajar mampu menguasai Bahasa Inggeris.

Beliau menyatakan bahawa perancangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris untuk sijil SPM terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025.

Kami mempersoalkan atas asas apa hal ini diputuskan. Apakah sudah ada kajian emprikal yang dilakukan untuk melihat implikasi dari polisi ini yang bakal dikuatkuasakan.

Kami berpendirian bahawa pelaksanaan polisi wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM tidak semestinya membantu untuk mengukuhkan pencapaian pelajar.

Ini adalah kerana pencapaian yang sepatutnya dikukuhkan ialah teknik pengajaran yang berkesan untuk meningkatkan kemampuan pelajar menguasai mata pelajaran yang dipelajari. Semestinya ini boleh dicapai jika dipelajari dalam bahasa Kebangsaan yang terbukti mampu melahirkan graduan yang berwibawa.

Dengan pengumuman itu kami mendapati ada tanda ketidakyakinan pihak kerajaan sendiri terhadap keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menteri mengumumkan polisi ini akan dilaksanakan bila para guru dan pelajar sudah bersedia. Kami berpendapat ini tidak harus menjadi alasan untuk polisi ini dilaksanakan. Sepatutnya Kementerian sendiri yang harus tahu bahawa bebanan menguasai Bahasa Inggeris tidak boleh menyebabkan pelajar dinafi mendapat sijil SPM. Malah ia boleh menjejaskan masa depan pelajar hanya kerana tidak lulus matapelajaran Bahasa Inggeris.

Sebaliknya Kementerian sepatutnya menjadikan lulus Bahasa Inggeris sebagai pelengkap bukan syarat penentu untuk mendapat sijil SPM.

Pihak kerajaan perlu bertegas untuk melaksanakan dasar mengguna bahasa Melayu dalam pendidikan kebangsaan dan tidak berdalih untuk kembali kepada dasar mengutamakan bahasa Inggeris .

Kami menolak sebarang perubahan yang akan sekali lagi meletakkan guru dan pelajar terbeban dengan syarat yang merumitkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah .

Kesan yang diharapkan untuk pelajar berfikir luar kerangka , seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran itu , bukan dengan mengguna pendekatan Bahasa Inggeris wajib lulus dalam SPM.

Tidak ada bukti menunjukkan lulus Bahasa Inggeris boleh mengakibat pelajar lebih kritikal dan berpandangan lebih luas. Soalnya pengajaran bahasa Inggeris yang tidak berkesan yang sepatutnya diberi perhatian , bukan mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris.

Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya menyemak keberkesanaan proses penguasaaan ilmu dalam sistem pendidikan negara yang ada kini serta keupayaan membentuk pemikiran pelajar yang kritikal. Kegagalan mencapai kesan ini adalah jauh lebih parah dari kegagalan lulus Bahasa Inggeris.

Seperti pencapaian negara-negara yang bukan berbahasa Inggeris , syarat lulus Bahasa Inggeris tidak menjadi kaedah untuk membentuk pemikiran yang dinamik dan kreatif.

* Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden TERAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.