Rabu, 27 Februari 2013

Pakatan sasar jimat RM49.5b setahun tampung perbelanjaan negara

Oleh Nomy Nozwir

 Pada sidang media di ibu pejabat PKR (dari kiri) Chua, Rafizi dan Dr Zulkefly. — Gambar Boo Su-LynPETALING JAYA — Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan penjimatan RM49.5 billion setahun untuk menampung perbelanjaan program dan projek kerajaan yang berjumlah RM45.8 billion setahun daripada perolehan keseluruhan RM206.4 bilion sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata, angka itu adalah penjimatan sebanyak 24 peratus perbelanjaan pembinaan jalan raya di Selangor dari Januari hingga September 2012.

“Kita akan jimatkan RM49.5 billion, iaitu 24 peratus dari perbelanjaan keseluruhan (RM206.4 billion),” kata Rafizi dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini.

“Kita menggunakan pendekatan pembiayaan dari tiga sumber kewangan, iaitu penjimatan perbelanjaan dengan membanteras rasuah dan perbelanjaan berhemah, menyusun keutamaan perbelanjaan, dan peningkatan hasil dari pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.”

Dalam manifesto yang dilancarkan PR Isnin lalu, pakatan itu mensasarkan pendapatan RM4,000 per purata isi rumah dalam tahun pertama pemerintahan.

PR juga mahu menghapuskan tol, memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga kereta, caruman wanita nasional dan 20 peratus dividen kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Turut hadir ialah naib presiden PKR, Chua Tian Chang, ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Zulkefly Ahmad, dan ahli parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.Rafizi berkata PR akan mengambil alih konsesi tol secara berperingkat-peringkat, bermula dengan lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berjumlah RM5.5 billion tahun ini.

Beliau berkata kos sebenar mencecah RM6.9 billion, tetapi mendapat penjimatan berjumlah RM1.4 billion dari pampasan tahunan dan dividen kepada PLUS, dan peningkatan dari penggunaan domestik apabila tol dimansuhkan akan berjumlah RM5.5 billion sahaja.

Rafizi juga berkata RM6 billion diperlukan setahun bagi pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN.

Rafizi juga berkata duti eksais akan diturunkan sebanyak 20 peratus secara berperingkat-peringkat selama lima tahun mulai tahun ini, dan menjual permit kebenaran (AP) secara terbuka.

“Pada 2018, apabila ekonomi meningkat, kerugian dari membuang duti eksais berjumlah RM7 billion itu akan diganti dengan pertumbuhan ekonomi,” kata Rafizi lagi.

Menurutnya, kerajaan PR akan mendapat cukai tambahan sebanyak RM4 billion setiap tahun apabila pertumbuhan 7 peratus setahun pertumbuhan ekonomi.

Rafizi juga berkata PR akan menyusun keutamaan perbelanjaan dengan mengurangkan perbelanjaan bajet Jabatan Perdana Menteri sebagai contoh.

“Kini Jabatan Perdana Menteri mendapat RM14 billion setiap tahun, iaitu hampir lima peratus. Kita akan ubah,” katanya lagi.

Beliau menegaskan PR mengurangkan harga minyak dengan meningkatkan subsidi dari kerajaan, tetapi menyusun semula subsidi kepada janakuasa bebas (IPP).

Rafizi menambah PR akan melaksanakan gaji minima RM1,100 dengan menyediakan subsidi kerajaan sebanyak RM2 billion setahun untuk membantu majikan.

“Hanya syarikat yang berkeuntungan tertentu dapat menyertai skim ini,dan mereka mesti menggantikan pekerja tempatan daripada pekerja asing,” katanya lagi.

Rafizi berkata cara Barisan Nasional (BN) melaksanakan gaji minima RM900 tahun ini menyebabkan industri kecil dan sederhana membantah kerana kerajaan tidak membantu mereka melalui subsidi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.