Akhbar-akhbar Tamil tetap menyiarkan berita yang menyentuh kaum India; asalkan bukan paparan positif mengenai Pakatan Rakyat.
Perhimpunan Agung Ke-66 MIC pada 9 Disember 2012 membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) dan MIC sendiri menganggap dan melayan kaum India di Malaysia sebagai “deposit tetap” semata-bagi menjamin BN terus mendapat undi dalam pilihan raya. Saya pernah menyentuh perkara ini menerusi sebuah makalah bertajuk “Mahu Jadi Deposit Tetap?” (Projek Dialog, 14 Disember 2012).
Tsunami politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac 2008 berikutan Perhimpunan Hindraf dan kebangkitan kaum India selaku minoriti yang tertindas pada November 2007 nampaknya masih belum memberi pengajaran berguna kepada BN dan lebih-lebih lagi kepada MIC yang mendabik dada mengiktiraf diri sebagai satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India.
Selepas sekian lama menganggap kaum India sebagai “deposit tetap”, apakah sikap dan pendirian Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah berubah? Perkara ini akan turut diperhatikan menerusi ulasan beberapa laporan di akhbar Thina Kural, Nam Naadu, Makkal Osai dan Tamil Nesan keluaran 14-20 Januari 2013.
Ulasan ini juga penting untuk meneliti apakah benar pandangan yang mengatakan bahawa sejak awal tahun ini, kelima-lima akhbar harian Bahasa Tamil sudah berubah menjadi “lidah rasmi” dan “alat propaganda” BN sedangkan sebelum ini, beberapa daripada akhbar berkenaan lantang bersuara secara objektif dan berani bagi mewakili suara kaum India sebagai kelompok minoriti.
Akhbar Thina Kural (14 Januari 2013) menyiarkan dua berita utama yang secara khusus berkaitan BN. Kalau selama ini kaum India hanya dilihat dan dilabel sebagai “deposit tetap” oleh BN dan MIC sendiri, semasa menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Klang pada 13 Januari lalu, Najib didapati sudah bermuhasabah.
Pada kali ini, beliau menggelarkan kaum/pengundi India sebagai “harta besar” bagi BN. Lihatlah sendiri perubahan (transformasi minda) yang berlaku daripada “deposit tetap” (9 Disember 2012) kepada “harta besar” (13 Januari 2013) dalam ucapan seorang politikus.
Sebagai seorang perunding media, saya sangat berharap wakil-wakil dalam MIC yang sebelum ini begitu teruja untuk turut menggelarkan kaum India sebagai “deposit tetap” – seperti dilaporkan Utusan Malaysia dan Berita Harian – akan turut mengikut “langkah bijak” Najib yang tiba-tiba mula mengiktiraf kaum minoriti yang tertindas, terpinggir dan teraniaya ini sebagai “harta besar”.
Halaman depan akhbar Thina Kural pada tarikh sama juga menyiarkan satu lagi berita berkaitan Najib dan mantera ajaib “Nambikei” yang sebenarnya sudah dijadikan bahan jenaka sebagai “tembikai” oleh anggota masyarakat.
“Letakkan nambikei (keyakinan); banyak kami akan buat”. Demikian tajuk yang dipaparkan bersama-sama foto Najib memakai kalungan bunga malai. Tentulah “kami” yang dimaksudkan adalah BN yang merupakan pembangkang di Selangor. Mungkin penasihat politik kepada Najib terlupa untuk membisikkan kepadanya bahawa kepercayaan dan “nambikei” perlu diperoleh (earn) dan bukannya diminta begitu sahaja.
Sharifah Zohra terus dibidas
Secara logik, kenyataan Najib juga sangat melucukan. Dalam PRU-12, “nambikei” sudah diberikan kepada BN untuk membentuk beberapa kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Lima tahun kemudian, BN masih mahu menagih “nambikei” yang berterusan dan tidak berbelah bagi. Bukankah lebih baik jika BN menilai diri sendiri dengan bertanya: “Apa yang sudah kami (BN) lakukan kepada rakyat selepas mendapat sedekah dan mandat untuk memerintah selepas PRU-12?”
Akhbar Thina Kural pada 14 Januari 2013 juga disertakan sisipan khas 16 halaman bertajuk “PM Rakyat yang menepati janji”. Hasil pemantauan, saya percaya bahawa sehingga Disember 2012, akhbar harian berkenaan tidak akan melakukan kerja-kerja mengampu sehebat ini; walaupun dengan alasan bahawa sisipan itu ditaja/dibayar sepenuhnya oleh pihak tertentu.
Perubahan drastik yang ditunjukkan oleh kelima-lima akhbar ini – Tamil Nesan, Malaysia Nanban, Makkal Osai, Thina Kural dan Nam Naadu – menimbulkan pertanyaan sama ada akhbar-akhbar ini akan mampu untuk bertahan dengan sikap sama selepas PRU-13. Entah berapa lama lagi masyarakat India akan terus mampu menahan rasa meluat dan rasa mahu muntah membaca berita-berita yang berat sebelah dan merupakan propaganda terang-terangan terhadap pihak tertentu.
Selain daripada berita bergambar mengenai sambutan Ponggal oleh MinnalFM (RTM), muka depan akhbar Nam Naadu (17 Januari 2013) turut memberikan ruang kepada berita paling sensasi pada waktu itu, iaitu berkenaan klip video Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary @ Nikki Da Best menghina seorang mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan aktivis sosial, Bawani KS.
Tajuk besar memetik kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah yang kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Sharifah Zohra. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga tampil membuat kenyataan menerusi Twitter pada 14 Januari 2013: “This Jabeen lady DOES NOT represent BN” (Wanita Jabeen ini TIDAK mewakili BN).
Laporan penuh di halaman 3 juga mengenai isu sama. Tajuk utama “Deii Bawani … India Poo” (Hoi Bawani … Pergi India) adalah mengenai tindakan seorang ahli Wanita UMNO bernama Norhayati Saiddin menulis di Facebook. Wanita itu kemudian tampil memohon maaf pada 16 Januari 2013 dengan cara yang melucukan dan mengeruhkan lagi keadaan.
Kenyataan daripada Pengerusi National Indian Rights Action Team (NIAT; dulu ‘National Interlok Action Team’), Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim juga disiarkan bersama-sama kenyataan Vell Paari, anak bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan beberapa individu lain. Ternyata isu klip video itu mendapat perhatian kesemua akhbar Tamil walaupun beberapa akhbar arus perdana Bahasa Malaysia dan Inggeris membisu seribu bahasa.
Isu “Listen Listen Listen” turut mendapat tempat di akhbar Makkal Osai (18 Januari 2013) di mana kenyataan Norhayati memohon maaf disiarkan di muka depan. Laporan semuka penuh di halaman 2 juga mengenai isu sama. Kenyataan Mohan, Ratnavalli dan beberapa individu lain juga disiarkan.
Turut menarik perhatian adalah kenyataan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang mengesahkan bahawa Sharifah Zohra “sudah dibuang dari parti”. Manakala di halaman 16, wawancara khas bersama Bawani yang menegaskan bahawa “saya bukan wanita yang akan terus tunduk apabila orang mengetuk kepala saya”.
Kerajaan negeri dipersalahkan
Satu lagi berita penting di halaman depan akhbar Makkal Osai pada hari berkenaan adalah berkaitan kuil Sri Maha Mariamman di Bangi Lama yang khabarnya menerima notis daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak membunyikan loceng kuil selepas 6:30 petang.
Sebenarnya, isu berkenaan masih berlarutan sehingga kini dan mengalami perubahan plot penuh twist hampir setiap hari. Apa yang pasti, T. Mohan selaku Ketua Pemuda MIC terus menyalahkan ‘Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor’ atas apa yang berlaku manakala ada pihak yang berpendapat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam kes melibatkan notis yang dikeluarkan pada 17 Februari 2012.
Akhbar Tamil Nesan (20 Januari 2013) memilih untuk menyiarkan berita bertajuk “Keganasan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor” di muka depan dengan mengangkat isu berkaitan kuil berkenaan. Ternyata bahawa bagi akhbar Tamil, tajuk utama di muka depan tidak semestinya berita terkini; sebaliknya berita yang paling sensasi serta sudah tersiar di media lain.
Dalam berita berkaitan klip video “Listen Listen Listen” dinyatakan bahawa Sharifah Zohra perlu dibuang daripada UMNO. Saranan itu datang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan tunjuk perasaan aman di Brickfields, Kuala Lumpur pada hari sebelumnya. Perlu dinyatakan bahawa menurut kenyataan rasmi SW1M, wanita itu adalah ahli UMNO Selangor.
Vell Paari juga muncul di muka depan dengan saranan supaya Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dikenakan tindakan kerana terus-menerus mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menggugat keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Pada masa sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhammad yang disifatkan memperlekeh serta mempersoalkan tindakan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman memberi taraf kerakyatan kepada kaum Cina dan India apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Ternyata bahawa akhbar-akhbar bahasa Tamil memang sentiasa prihatin dalam menyiarkan berita-berita yang ada kaitan dengan sentimen kaum India. Bagaimanpun, sekiranya Sharifah Zohra, Norhayati atau Ibrahim memegang jawatan penting dalam UMNO, tidak diketahui adakah liputan yang sama akan berani dibuat akhbar-akhbar berkenaan. Atau jika Bawani memegang jawatan penting dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ringkasnya, walaupun sentiasa akur pada usaha dan tuntutan menyiarkan berita-berita yang ada kaitan dengan kaum India, akhbar-akhbar harian Tamil ternyata sudah tidak berani atau berminat memberi liputan positif berkaitan Pakatan Rakyat (PR) sejak beberapa minggu lalu.
Berita-berita mengenai kebangkitan rakyat menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan telus menerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) juga tidak dilaporkan. Ada juga akhbar yang tiba-tiba berubah 180 darjah sehingga menimbulkan tanda tanya tentang kemungkinan akhbar-akhbar Tamil mudah “dibeli” pihak tertentu.
Rata-rata kaum India terus membeli dan membaca akhbar Tamil kerana mahu memberi sokongan terhadap usaha memastikan bahasa ibunda mereka terus segar di negara bertuah ini. Sama ada pembaca dapat terus bersabar dan menerima sahaja berita-berita propaganda yang berat sebelah dan mengatasi “kehebatan” Utusan Malaysia, hanya masa yang akan menentukan.
Uthaya Sankar SB adalah penulis bebas dan pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.