Selasa, 29 Januari 2013

Di manakah semangat wasatiyyahmu, saudaraku?

 
Semangat wasatiyyah yang ditonjolkan Nabi Muhammad saw tidak kelihatan di dalam kontroversi kalimah Allah.



Sambutan Maulidur Rasul pada hari Khamis lalu diraikan dengan tema wasatiyyah tonggak kesatuan ummah.

Namun di sebalik penekanan terhadap wasatiyyah, perkembangan mutakhir tidak menunjukkan semangat wasatiyyah.

Ya, saya sedang berbicara berkenaan dengan isu penggunaan kalimah Allah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan umat Islam bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah.

Ini kerana apabila umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan, ia bersamaan dengan mempersekutukan Allah.

Sebelum ini Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali menggesa umat Islam membakar Injil berbahasa Melayu, Al-Kitab.

Nabi Muhammad telah membuktikan bahawa penggunaan gelaran tidak penting bak kata pepatah Melayu, jika ular menyusur akar sekalipun tak akan hilang bisanya.

Perkara ini jelas terlihat dalam Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani dalam tahun 628 diantara Nabi Muhammad yang mewakili masyarakat Islam dan masyarakat Quraisy diwakili Suhayl ibn Amr.

Suhayl membantah apabila Ali ibn Abu Talib menulis mukadimah perjanjian dengan “Bismillah ir-Rahman ir-Rahim” dan berkeras untuk menggunakan Bismika Allahuma.



Nabi Muhammad membenarkan pindaan dibuat sepertimana yang digesa Suhayl meskipun dibantah oleh sahabat-sahabatnya.

Suhayl membantah buat kali kedua apabila Ali menulis Muhammaddur – Rasulullah kerana tidak mengetahui bahawa Nabi Muhammad ialah Rasul yang diturunkan Allah.

Suhayl menegaskan bahawa Nabi Muhammad  perlu dirujuk sebagai Muhammad ibn Abdullah. Ali tidak mahu lantas Nabi Muhammad menulis namanya, Muhammad ibn Abdullah.

Hanya kerana Nabi Muhammad menulis namanya Muhammad ibn Abdullah tidak menyebabkan sifat-sifat kerasulannya hilang.

Masyarakat Quraisy menggunakan perkataan Bismika Allahuma. Ia tidak membawa sebarang kekeliruan kepada masyarakat Islam ketika itu kerana mereka tahu perbezaannya.

Allah turut berfirman di dalam dua surah Al-Quran yang menunjukkan bahawa umat Islam tidak akan terpesong sekiranya namaNya digunakan oleh bukan Islam. Surah yang saya maksudkan ialah surah al-Kafirun dan surah al-Zukruf ayat ke 87.

Surah al-Kafirun

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.

Allah berfirmah di dalam Surah al-Zukhruf ayat 87 berbunyi: “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.