Isnin, 28 Januari 2013

Pengawal Kunci Air Antara Penerima Penghargaan Maulidur Rasul


OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KLANG,: Dua petugas Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Sungai Udang dan Kampung Delek menerima Penghargaan Jasamu Tetap Dikenang Sepanjang Zaman dalam Sambutan Maulidur Rasul 1434/2013 Peringkat DUN Selat Klang di sini.

Pengawal Kunci Air Sungai Udang dan Kampung Delek, Hasanuddin Selamat dan Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Mohd Nazri Jailani merupakan antara 51 penerima penghargaan sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Penghargaan tersebut diberikan atas peranan dan jasa besar yang dimainkan mereka bagi mengelak banjir besar melanda kampung-kampung sekitar Sungai Udang dan Sungai Bertik.

Demikian menurut Dr Halimah Ali ketika menyampaikan ucapannya di majlis sambutan yang diadakan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini.

“Kalau tidak kerana mereka, tentu kita masyarakat di sini kerap hadapi banjir, oleh itu jasa mereka sangat besar,” kata beliau yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Sementara itu Nazir Masjid Nurul Amin, Basir Bakar yang turut menerima penghargaan berkata, menganggap penghargaan yang diterimanya itu sebagai pendorong untuk beliau lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat Kampung Delek.

“Terima kasih kerana berikan sumbangan ini, sesungguhnya tugas yang saya jalankan adalah amanah dari Allah dan masyarakat kampung ini,” kata Basir.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Manakala Pengerusi Surau Hj Mokhtar, Mokhtar Ahmad pula memberitahu, penghargaan yang diterimanya menjadikan beliau lebih bersemangat untuk menegakkan syiar Islam di Selat Klang.

Dalam majlis itu seramai 51 orang yang terdiri daripada Nazir Masjid, Pengerusi Surau, Siak, Bilal, Bilal Jenazah dan Pengawal Kunci Air dari seluruh Dun Selat Klang diberikan penghargaan.

Sebelum itu, dianggarkan hampir dua ribu penduduk Kampung Delek dan kampung-kampung berhampiran hadir dalam majlis sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Ya Rasullullah, Kami Sayang dan Taat Padamu’.

Majlis itu dimulakan dengan perarakkan 914 perserta dari 31 kontingen badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, masjid dan surau dari seluruh Selat Klang sejauh hampir dua Kilometer sebelum berakhir di perkarangan Masjid Nurul Amin.

Dalam majlis tersebut pelbagai program menarik turut diadakan seperti program Adik dan Al-Quran Bersama Ustaz Zamri ‘Mantop’ atau nama sebenarnya Zamri Zainuddin, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Bicara Ilmu oleh Ustaz Dr Zulkifli, Marhaban dan lain-lain lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.