Khamis, 31 Januari 2013

Nafi gali minyak di pasar Siti Khadijah

KL TODAY

 

Notis berupa arahan perpindahan kepada para peniaga Pasar Siti Khadijah di sini yang ditemui sekitar pasar itu sejak semalam merupakan notis palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin notis palsu itu sengaja dibuat pihak tertentu dengan niat mahu menimbulkan suasana tidak elok antara Para Peniaga Pasar Siti Khadijah dengan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

“Ianya ditampal di beberapa lokasi di Pasar Siti Khadijah dipercayai untuk menimbulkan masalah antara peniaga dengan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz,” coretnya dalam Facebook.

Difahamkan sejak semalam, notis itu dikesan bertaburan di pasar tersebut.

Antara lain notis itu berbunyi “peniaga dan penjaja Pasar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya hendaklah mengosongkan kawasan ini di dalam tempoh 60 hari. Arahan ini bagi membolehkan bangunan ini dirobohkan supaya aktiviti mencarigali minyak dapat berjalan lancar. Arahan Yang Dipertua Kota Bharu Bandar Raya Islam “.

Notis itu dipercayai dibuat sebagai mengambil kesempatan di atas pengumuman Husam beberapa hari lalu berhubung penemuan minyak di atas daratan di beberapa buah lokasi di bandar Kota Bharu dan Tumpat.

Ekoran penyebaran notis palsu itu , Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan hari ini turun bertemu peniaga di pasar itu pagi tadi.

“Hari ni sempat luang masa ke Pasar Siti Khadijah sambil “mengintai” Notis Perpindahan yang disedarkan oleh Pihak tak bertanggungjawab.

“Alhamdulillah para peniaga tidak terpengaruh dengan tektik jahat pihak tak bertanggungjawab,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Majlis Bandaraya Islam (MBKB-BRI), Fauzi Mat menjelaskan sebelum ini beliau telah diberitahu bahawa satu notis meminta peniaga dan penjaja di Pasar Siti Khadijah mengosongkan kawasan itu dalam tempoh 60 hari bagi melancarkan aktiviti mencari gali minyak di situ.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga dan penjaja di Pasar Siti Khadijah dan kawasan-kawasan sekitarnya mengabaikan notis palsu tersebut dan meneruskan aktiviti perniagaan seperti sedia kala tanpa ragu-ragu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.