SHAH ALAM : Kerajaan Negeri akan membubarkan DUN Selangor lebih awal jika Kerajaan Pusat masih tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai tarikh parlimen akan dibubarkan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri berpendirian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak boleh dilengah-lengahkan lagi dan sedia membubarkannya lebih awal memberikan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baru.
“Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih tidak mengumumkan pembubaran parlimen, Kerajaan Negeri bercadang untuk bubarkan DUN dengan lebih awal, iaitu selepas Chap Goh Mei,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri enggan membubarkan DUN serentak dengan Kerajaan Pusat jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu kerana mahu menguruskan bajet tahunan Kerajaan Negeri yang masih belum selesai.
“Kita enggan menyertai PRU-13 jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu kerana saya perlu menunggu satu tahun penuh bagi menguruskan bajet 2011 lalu,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang berlangsung pada bulan Mac 2008 lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya mendapat mandat daripada rakyat Selangor bagi membentuk sebuah Kerajaan Negeri yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.