Selasa, 29 Januari 2013

Konvensyen Pakatan Rakyat pertengahan Februari ini

Oleh Aisha Geoffrey



KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat bakal menganjurkan konvensyen menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) pada pertengahan Februari ini, kata Pengarah Stategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurutnya, penekanan terhadap aspek ekonomi serta permasalahan rakyat menjadi fokus utama pembentangan manifesto dalam konvensyen itu nanti.

“Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Rakyat sedang giat melakukan persiapan akhir konvensyen serta meneliti kandungan manifesto,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.



“Kita memberi penekanan utama kepada aspek ekonomi, dan permasalahan rakyat. Ada antara perkara dalam manifesto tersebut yang sudah diisytihar sebagai dasar Pakatan dan ada lagi perkara baru yang akan kita umum nanti,” jelasnya.

Jawatankuasa tersebut dianggotai Rafizi sendiri, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dari KEADILAN.

Sementara PAS diwakili Ahli Jawatankuasa Kerjanya, Khalid Samad dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa. Manakala Ronnie Liu dan Tony Pua mewakili DAP.

“Kita belum ada tarikh tepat, yang pasti pada minggu ketiga Februari, kita akan umumkan,” kata Rafizi lagi.

Konvensyen ini merupakan kali keempat diadakan sejak 2010.

Kali terakhir adalah pada 14 Januari tahun lalu di tapak Konvensyen Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar dengan memfokus dan memperincikan dasar utama Pakatan dalam tawaran Buku Jingga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.