Selasa, 29 Januari 2013

Isu Nasha: Majlis Syura buat keputusan tepat

KL TODAY
 
 

SHAH ALAM: Majlis Syura Pas telah membuat keputusan tepat apabila menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Syura tahu apa yang pihaknya putuskan kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan alasan kukuh selepas membuat kajian menyeluruh.

“Majlis Syura sudah membuat kajian dan tahu mengapa Nasharudin perlu dilucutkan. Justeru keputusan pengguguran ini sangat wajar. Semua pihak perlu menerimanya dengan terbuka,” katanya.



Ketika ditanya adakah di sebalik keputusan ini Pas melabel Nasharudin sebagai duri dalam daging dan membahayakan parti, beliau enggan memberikan komen lanjut.


“Saya tidak mahu komen hal itulah.  Apa yang pasti pengguguran Nasharudin ini tidak akan menggugat parti.


“Bahkan Insya-ALLAH tidak akan mengganggu persediaan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” tegas beliau.



Semalam, Majlis Syura Pas mengesahkan  menggugurkan keanggotaan Nasharudin yang juga  Ahli Parlimen Bachok kerana didakwa telah melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.


Keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan surat mengenai perlucutan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat tersebut.


Justeru Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang jawatan. Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.