Isnin, 3 Disember 2012

Saham Felda jatuh bukan salah PR

NORHAFIZAN ZULKIFLI

Shahril Azman Abdul Halim
Ketua Pemuda Pas Pahang, Shahril Azman Abdul Halim
 
JENGKA - Kerajaan dikatakan cuba menutup kesilapan melakukan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) dengan mengatakan fitnah pembangkang sebagaipunca kejatuhan saham itu.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Shahril Azman Abdul Halim berkata, Pakatan Rakyat (PR) daripada awal lagi membantah penyenaraian FGVH dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), malah turut menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Sekuriti tentang risiko penyenaraian terbabit namun tidak diendahkan kerajaan.

“Kita sudah mengingatkan kerajaan tentang perkara ini, malah pakar ekonomi juga memaklumkan keadaan ekonomi sekarang tidak sesuai untuk melakukan penyenaraian atau bermain saham,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan dikeluarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkaitan perkara itu.

Tambahnya, bukan setakat saham FGVH mengalami kejatuhan, malah saham lain seperti Facebook juga menerima nasib sama.

“Adakah kejatuhan saham Facebook juga disebabkan oleh pembangkang?,” katanya.

Katanya, kejatuhan saham FGVH membuka peluang kepada PR menguasai undi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Penyenaraian memberi ruang kepada satu-satunya pegangan milik Melayu ini jatuh ke tangan bukan bumiputera atau bangsa asing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pahang, Suhaimi Said berkata, tuduhan yang dibuat sekali gus menunjukkan kelemahan kerajaan.

“Apabila pembangkang dikatakan sebagai penyebab kejatuhan saham FGVH, ini menggambarkan pengaruh kami kuat sehingga boleh menentukan turun naik saham,” katanya.

Tambahnya, apa yang digambarkan sebagai fi tnah sebenarnya bukanlah satu fi tnah, sebaliknya apa yang diperjuangkan PR adalah seperti yang termaktub dalam Buku Jingga.

“Kami tidak bersetuju dengan penyenaraian ini kerana FGVH menggadaikan tanah Felda Plantation yang sepatutnya menjadi milik peneroka.

“Ini adalah apa yang kami tekankan dan ia bukanlah fitnah sebaliknya tuntutan di mana sekiranya kami memerintah kerajaan negeri ini nanti, kami akan memansuhkan penyenaraian terbabit dan menyerahkan tanah Felda Plantation kepada generasi kedua,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.