Oleh Muhammad Zir
Dalam banyak-banyak cadangan untuk memajukan ekonomi, ada satu idea yang mengatakan bahawa sesebuah negara tidak akan mempunyai pasaran yang kukuh tanpa sistem pemilikan dokumen yang sah. Biasanya negara dunia ketiga agak caca-marba sistem dokumentasi yang menyebabkan banyak rancangan pembangunan tergendala kerana tersangkut akibat tiada dokumentasi yang lengkap.
Dengan adanya dokumen yang sah dan lengkap, maka jelaslah hak milik harta dan tanah serta perniagaan. Apabila hak milik jelas dengan adanya dokumen, maka tiada masalah membuat pinjaman, tiada masalah untuk mengendalikan urusan mahkamah, malah kerajaan mudah mengutip cukai kerana ada dokumentasi yang lengkap.
Akses kepada harta dan tanah
Di kebanyakan negara dunia ketiga, hanya segelintir elit kapitalis yang menikmati keuntungan kerana mereka mempunyai dokumen yang lengkap. Sebaliknya ramai pengusaha kecil dan orang kebanyakan tersangkut dalam perangkap kemiskinan kerana ketiadaan dokumen sah.
Inilah tesis ahli ekonomi pasaran dari Peru, Hernando De Soto, yang mengandaikan ada kira-kira US$10 trillion “modal mati” yang tidak bergerak kerana ketiadaan dokumentasi yang sah.
Ada laporan mengatakan bahawa dengan US$40 billion sahaja sudah cukup untuk kemudahan asas – bekalan air bersih, pendidikan asas, kesihatan termasuk kesihatan ibu – di semua negara membangun. Bayangkan jika US$10 trillion (atau satu ribu billion) menjadi hak milik sah semua penduduk dunia.
Maksud de Soto, rakyat yang tidak memiliki dokumen ke atas satu-satu aset seperti tanah atau rumah mereka sendiri menyebabkan mereka hilang hak untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi pasaran. Ini bererti individu yang terlibat tidak akan mendapat peluang (akses) untuk meningkatkan taraf ekonomi dan hidupnya.
Akses kepada maklumat
Sama ada kita setuju dengan tesis de Soto atau tidak, ia adalah soal kedua. Yang penting ialah melihat bagaimana kaitan dokumentasi dan akses kepada maklumat dalam konteks di Malaysia masa kini.
Rakyat Malaysia tidak mempunyai akses maklumat yang seimbang menerusi media perdana yang secara teorinya harus beroperasi secara bebas dan adil dalam melapor berita mahupun isu. Ini realiti yang semua warga Malaysia tahu.
Akses maklumat yang betul dan seimbang merupakan hak setiap rakyat yang membayar cukai. Sama seperti hak untuk seseorang memiliki dokumen yang sah ke atas tanah, rumahnya hatta dirinya sendiri. Tanpa dokumen milikan harta ini, tak mungkin rakyat mendapat akses untuk dirinya dalam arena perniagaan mahupun ekonomi secara aktif, efisien dan sah menurut undang-undang.
Begitulah misalnya apabila rakyat yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi dalam pilihanraya tetapi mereka tidak dibekalkan dengan maklumat yang cukup, seimbang dan jelas.
Akses kepada demokrasi I
Maka, rakyat Malaysia tidak mendapat akses dalam sistem demokrasi. Kesannya ialah rakyat tidak dapat membuat perbandingan, ukuran dan keputusan dengan betul dalam menunaikan kewajipannya sebagai warganegara.
Pengetahuan adalah hak rakyat. Maklumat yang betul, seimbang adalah hak. Dan sekali lagi kita ulang – ini adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Dengan ungkapan yang lebih jelas, parti-parti selain parti kerajaan, mereka wajar diberi akses kepada semua media tanpa syarat yakni secara bebas tanpa kekangan. Ini hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.
Namun apa yang berlaku ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat itu bukanlah kerajaan yang mereka ingini (dengan sedar), apatah lagi kerajaan tersebut tidak merasa bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat oleh rakyat.
Cukai dan segala kekangan undang-undang akan terus membelenggu rakyat oleh ahli politik terbabit. Beginilah bagaimana istilah demokrasi dipergunakan oleh elit pemerintah dan kroni mereka dari kalangan kapitalis gergasi boleh melahirkan pemerintahan separa kuku besi.
Akses kepada demokrasi II
Berbalik kepada kajian Hernando De Soto, memang benar beliau mengemukakan cadangan untuk menambahbaik ekonomi dalam konteks ekonomi pasaran atau kaptalisme. Golongan yang condong kepada sistem sosialisme mungkin tidak selesa dengan idea daripada pemuka kapitalisme.
Namun, apakah kita perlu menyalahkan kapitalisme sahaja? Atau adakah kita ingin menyalahkan individu terbabit (rakyat) kerana tidak mengabsahkan hak atau aset mereka dalam sistem kapitalis?
Jika kita renung kembali peranan daulah (kerajaan) maka di sinilah kita yakin bahawa peranan kerajaan adalah sebagai perantara-perunding-pengadil untuk memastikan rakyat atau warganegara atau pemilik tanah/aset, mendapatkan maklumat atau dokumen yang diperlukan untuk akses ke dalam sistem demokrasi atau ekonomi, ini bagi memastikan sistem dan pemainnya dapat berfungsi menuruk ideanya.
Dalam konteks kebebasan media atau maklumat, adalah menjadi kewajipan setiap kerajaan (sebagai pengadil) untuk tidak mengawal media yang dibina atas cukai semua rakyat (termasuk yang tidak menyokongnya) menurut kehendak mereka sahaja sebaliknya, memberikan kepercayaan kepada pengendali media untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Akses kepada kebenaran
Dalam bahasa yang lebih mudah, majikan kepada media perdana yang beroperasi atas wang cukai rakyat adalah rakyat sendiri. Bukan ahli politik mahupun peniaga/usahawan. Bagi media swasta, walaupun bos kepada media tersebut adalah pemilik langsung atau pemegang sahamnya, ia tetap bertanggungjawab kepada prinsip bebas, adil dan saksama.
Sama seperti dengan konsep hospital awam dan swasta, yakni kedua-duanya berprinsip untuk mengubat dan menyelamatkan nyawa manusia dengan cara yang terbaik mungkin. Semata-mata kerana sesebuah hospital itu swasta, ia tidak berhak untuk mencederakan atau membunuh sesiapa dengan sengaja.
Dunia hari ini adalah dunia yang bergerak atas transaksi maklumat. Tanpa akses maklumat bebas tidak mungkin akan berlaku transaksi idea, pendapat dan saranan. Semua ini adalah aktiviti utama dalam sistem demokrasi.
Dengan memgambil ungkapan de Soto berkaitan dengan akses, maka jelas bahawa tanpa akses kepada ruang dan aktiviti demokrasi, tak mungkin demokrasi dapat berjalan dengan baik. Rakyat mesti tahu dengan jelas bagaimana keadilan boleh ditegakkan, bagaimana keputusan yang bernas dapat diambil, bagaimana hak-hak rakyat boleh ditunaikan dan bagaimana mungkin taraf hidup dapat diperbaiki.
Jangan pula ada yang mahu menyalahkan demokrasi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.