Selasa, 27 November 2012

BN mesti batal Lynas jika rakyat didahulukan

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: DAP menyokong penuh segala usaha mempertahan dan  memelihara alam sekitar termasuk mendesak kerajaan BN menghentikan segera operasi pusat pemprosesan nadir bumi Lynas, di Kuantan yang berisiko menyebabkan pencemaran radio aktif.

Bersama dengan aktivis Himpunan Hijau yang berkampung di Dataran Merdeka sejak malam tadi,
sekumpulan Ahli Parlimen PR bersama bermesyuarat, mendengar dan menyokong resolusi yang diputuskan.

Tuntutan resolusi itu antara lain mendesak kerajaan membatalkan segera projek loji nadir bumi Lynas dan menilai semula semua projek yang boleh memudaratkan seperti perlombongan menggunakan bahan kimia Sianida di Bukit Koman, isu kabel bervoltan tinggi di Rawang, projek Rapid di Pengerang Johor dan isu rampasan tanah orang asal.

Antara Ahli Parlimen DAP yang hadir ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang; Tan Kok Wai (Cheras), Fung Kui Lun (Bukit Bintang), Chong Eng (Bukit Mertajam), William Leong (Selayang), Fong Poh Kuan (Batu Gajah) dan Dr Jeyakumar (Sungai Siput).

Lynas bakal gugat BN

Menganggap tuntutan yang didesak kumpulan anti-Lynas ini adalah suara rakyat yang amat jelas, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang ditemui di Dataran Merdeka malam tadi, berkata kempen ini adalah satu kesedaran kolektif yang tidak membabitkan campur tangan politik.

“Pada mulanya hanya seorang dua yang menyedari akan bahaya yang bakal berlaku sekiranya kilang Lynas beroperasi, tapi tidak sangka kempen ini menjadi begitu besar dan menarik ramai orang terbabit,” katanya.

Ditanya samada isu ini akan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya akan datang, Lip Eng berpendapat BN akan menerima kesan yang lebih teruk jika isu ini tidak diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

Bagi Ahli Parlimen Seputeh merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, beliau terharunya dengan semangat dan kesungguhan ditunjukkan peserta “Green Walk” yang sanggup berjalan berates kilometre dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

Ketika ditanya, Teresa berpendapat bahawa kerajaan BN tidak akan menghentikan projek Lynas terbabit.
“Saya rasa BN tak lihat tuntutan ini sebagai satu keperluan. Mereka akan biarkan kumpulan yang membantah terus ‘bising’ dan Lynas tetap akan kekal disana (beroperasi),

“Bagi saya, isu ini sememangnya telah memberikan kesan, impak khususnya kepada orang muda. Kalau tidak, mengapa begitu ramai rakyat Malaysia turun menyokong kempen ini sejak bermula di Kuantan lagi?” jelas Teresa.

Tolak Lynas selamatkan Malaysia

Semalam, sekurang-kurangnya 15,000 peserta “Green Walk” Himpunan Hijau berarak dan memenuhi Dataran merdeka setelah bermalam semalaman di bekas Ibupejabat Pas Taman Melewar.

Jelajah “Green Walk” merentasi ratusan kilometer ini bertujuan mendesak kerajaan menghentikan projek pemprosesan nadir bumi Lynas milik Australia di Gambang Kuantan yang berisiko kepada pencemaran radiasi radioaktif sepertimana yang pernah berlaku di Bukit merah Perak.

Sehingga kini, kerajaan BN tidak melakukan apa-apa tindakan biarpun kilang tersebut mendapat tentangan meluas rakyat Malaysia. Antara risiko kesan pencemaran radioaktif terhadap manusia antanya seperti penyakit kanser, kecacatan bayi, pencemaran udara, air dan masalah kesihatan yang lain.- Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.