SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak memberi jaminan
projek pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran Batu Caves
akan dibatalkan.
Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi berkata, setakat
ini kerajaan negeri telahpun mengeluarkan arahan untuk menghentikan
projek itu buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) melakukan siasatan.
Namun keputusan sama ada projek tersebut boleh diteruskan atau tidak,
bergantung kepada ehsan kerajaan negeri selepas mengambil kira
hujah-hujah yang bakal dikemukakan oleh unit perancangan negeri.
"Perkara ini memerlukan masa untuk diselesaikan selepas mengadakan
perbincangan dengan kerajaan dan mendapatkan penjelasan daripada
pelbagai jabatan dan sebagainya. Selepas itu kita akan buat keputusan,"
katanya.
Xavier selain itu menyifatkan kerajaan Selangor prihatin dengan isu
yang dianggap sensitif berikutan kawasan tersebut merupakan tempat
beribadat bagi kaum Hindu selain itu mengingatkan media agar tidak
menggembar-gemburkan isu tersebut sebelum keputusan dibuat.
Jumaat lalu, sekumpulan 300 orang aktivis dari Kuil Sri Maha Mariamman
telah mengadakan bantahan secara aman di hadapan kuil yang memilik
patung Dewa Murugan tertinggi di dunia terletak di kaki bukit berkenaan
mendesak kerajaan Selangor membatalkan projek kondominium itu.
Selain projek tersebut didakwa akan memusnahkan patung itu yang
terletak 300 meter daripada tapak pembinaan, turut dikhuatiri ianya akan
menutup pandangan kuil tersebut yang kini menjadi salah satu tarikan
pelancong seluruh dunia.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R.
Nadarajah memberi tempoh selama sebulan kepada kerajaan negeri untuk
bertindak.
Xavier yang sebelum itu enggan melayan jawatankuasa berkenaan dalam
kenyataan balasnya menggesa agar Nadarajah berhenti memberi kata dua
kepada kerajaan negeri.
Malah beliau turut menyifatkan bantahan berkenaan bermotifkan politik
kerana projek tersebut telah diluluskan oleh pihak majlis pada 31 Mei
2008 di bawah pentabiran kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala ahli
majlis baru di bawah Pakatan Rakyat hanya mengangkat sumpah pada 5 Julai
2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.