Ahad, 28 Oktober 2012

Bekas pekerja Ladang Bangi: Pemaju berniat jahat

 
Laporan polis dibuat terhadap pemaju perumahan kerana tidak memberi peluang kepada bekas pekerja untuk mendapatkan khidmat guaman dan tidak memberi makluman awal.



KAJANG: Sekumpulan bekas pekerja Ladang Bangi membuat laporan polis terhadap pemaju perumahan Trans Loyal Development Sdn Bhd pada pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Menurut wakil bekas pekerja Ladang Bangi, S Arutchelvan yang juga ialah ahli Majlis Perbandaran Kajang, pihak pemaju hanya menyerahkan notis saman pemula kepada bekas pekerja semalam walaupun saman tersebut difailkan pada 17 Oktober.

Kumpulan bekas pekerja Ladang Bangi tersebut dikehendaki menghadirkan diri di mahkamah pada hari Isnin dan sekirannya gagal akan menyebabkan keputusan diambil tanpa megambil kira kepentingan bekas pekerja.

“Kita anggap ia tindakan kotor kerana tidak memberi peluang untuk ke mahkamah. Esok kita ke mahkamah tanpa peguam. Ini memberi satu kelebihan kepada pihak pemaju.

“Aduan ini dibuat untuk memberitahu mahkamah bahawa mereka main kotor,” kata Arutchelvan yang juga adalah setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia ketika ditemui bersama pengerusi jawatankuasa bekas pekerja Ladang Bangi C Krishnan.

Menurut Arutchelvan para pemaju tersebut juga memilih masa yang salah untuk memberikan notis kerana kebanyakan bekas pekerja Ladang Bangi sedang sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Deepavali dalam tempoh dua minggu.

Beliau menambah bahawa Trans Loyal dan peguam mereka juga tidak memaklumkan tindakan ini pada hari Khamis lalu semasa satu mesyuarat di Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

“Mereka mengambil kesempatan ke atas kerajaan negeri dan MPKJ,” dakwa Arutchelvan.

Lading tersebut pada asalnya dimiliki Golden Hope dan bertukar pemilik kepada Sime Darby, dan kepada Serie Emas. Serie Emas dilaporkan berjanji untuk membina rumah bistari untuk 43 pekerja dalam tahun 2006.

Sejumlah RM18,000 telah ditawarkan kepada bekas pekerja yang telah keluar dari Ladang Bangi 10 tahun lalu.

Trans Loyal telah mengambil kawasan bekas ladang beberapa tahun lepas namun gagal  melunaskan keperluan bekas pekerja ladang.

“Kerajaan Selangor mempunyai dasar yang mewajibkan pemaju membina perumahan untuk pekerja sebelum diusir. Dulu dia guna gangster sekarang guna mahkamah untuk mengusir keluarga bekas pekerja ladang,” kata Arutchelvan.

Beliau turut menggesa kerajaan Selangor untuk mengambil tindakan terhadap Trans Loyal Developers kerana “berbohong kepada semua pihak”.

Isu pampasan bekas pekerja ladang ini pernah dibangkitkan di mahkamah di dalam tahun 2001 dan 2006 di mana bekas pekerja menang namun tuntutan perumahan tidak ditunaikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.