PASPB
Akhirnya,
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mengambil pendekatan ‘menyerang
balik’ pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sejak kebelakangan ini
sering menyalahkan Kerajaan Negeri, terutama dirinya berhubung dakwaan
penyelewengan, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, kini tampil mendedahkan empat projek di bawah kerajaan BN yang gagal sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri menanggung beban hutang yang banyak.
“Saya dan
pegawai Kerajaan Negeri asyik diserang konon seleweng projek, kali ini
saya dedahkan empat projek besar yang ada kaitan dengan penyelewengan
kerajaan terdahulu. Adakah kali ini mereka akan nafi? Saya sudah letih
tanggung beban (hutang) atas kesilapan kerajaan BN sebelum ini,”
katanya.
Menurutnya,
projek yang dimaksudkan itu ialah projek 99 East Langkawi, ternakan
udang di Kerpan, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Projek Jerai
Internasional Park.
Azizan berkata,
projek 99 East Langkawi bermula sejak 2007 dengan "joint venture
agreement" dan "shareholders agreement" ditandatangani antara Kedah
Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd pada
Februari 2007, bagi membangunkan Bukit Malut membabitkan 144 hektar
tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB).
“Komposisi
pegangan dalam usahasama ini adalah 80-20 peratus dengan Terra Monda (51
peratus dimiliki pelabur Swiss) dan 20 peratus KCB untuk membentuk
syarikat yang dinamakan 99 East Langkawi Sdn Bhd.
“Melalui
perjanjian itu, KCB perlu sediakan tanah dan seterusnya pindahkan tanah
itu kepada 99 East Langkawi Sdn Bhd dan Terra Monda selaku pelabur akan
biayai kos dan pelaksanaan pembangunan,” katanya.
Bagaimana pun,
terma perjanjian itu didapati berat sebelah dengan nisbah keuntungan
tidak seimbang, tambahan pula KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya.
“Pengurusan
Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) enggan memberi Power of Attorney
kepada 99 East Langkawi demi untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri.
Itu kesilapan besar kerajaan BN sebab janji nak bagi tanah bukan
miliknya, sebab itu kita tidak benar penyerahan tanah itu,” katanya.
Azizan berkata,
projek ini ada kaitan dengan orang kanan politik BN ketika memegang
jawatan Pengerusi KCB ketika Kedah diterajui Mahdzir Khalid.
“Sebahagian wang
sudah dibayar kepada pengurusan dahulu, dan setelah dinilai semula ia
tidak rasional untuk diteruskan. Kita sedang berunding dengan Terra
Monda dari semasa ke semasa bagi menamatkan perjanjian secara amicable,”
katanya.
Projek ternakan
udang di Kerpan juga menemui kegagalan, di mana perjanjian pengurusan
projek pada Disember 2007 dibuat antara Kedah Agro Industries Marketing
Bhd (KAIMB) dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB - 2012 diambil alih oleh
SKS Reality Sdn Bhd ).
“Pada Jun 2012,
KASB menang saman RM2.16 juta ke atas KAIMB, babitkan kos dan keuntungan
bersih KASB layak terima daripada jumlah hasil jualan udang RM6 juta
(2007), tetapi tidak dimasukkan dalam akaun projek itu,” katanya.
Azizan
mempersoal ke mana hilangnya keuntungan terbabit yang sepatutnya
diagihkan 60-40 peratus tetapi Kerajaan Negeri tidak pernah menerima
duit itu.
“Keuntungan 40
peratus itu kita tak pernah terima, ini suatu penyelewengan. Sekarang
Kementerian Kewangan mahu saman RM2 juta sebab agihan tidak dibuat,
sedangkan kita pun tak terima. Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) siasat kes ini termasuk kerajaan BN terdahulu,” katanya.
Menurutnya,
pihaknya mahu tahu ke mana hilangnya keuntungan itu di mana syarikat
terbabit dikendalikan oleh individu yang rapat dengan bekas Menteri
Besar sebelum ini.
“Peguam telah
failkan rayuan pada Julai 2012 namun tarikh belum ditetapkan. KAIMB juga
belum bayar apa-apa kepada KASB,” katanya.
Azizan turut
kesal apabila kerajaan PR kini terpaksa membayar hutang RM11 juta kepada
syarikat Long Island, ekoran kegagalan usahasama Yayasan Islam Negeri
Kedah.
“Saya tidak
terlibat dalam usahasama ini, tetapi sebagai Menteri Besar sekarang,
saya perlu lunaskan tuntutan sayarikat itu. Kita terpaksa tebang balak
untuk bayar hutang kerajaan BN sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, kes
ini membabitkan usahasama dengan syarikat Cayman Development, atas tanah
200 ekar di Tandop untuk bangunkan kawasan industri dan perumahan.
“Cayman gagal
laksana dan ketika itu Syed Razak arahkan projek diserah kepada pemaju
lain iaitu Long Island untuk tebus tanah dari bank. Ada 15 lot industri
tak terlibat akhirnya dibuat perumahan dan Long Island saman kita sebab
tanah itu masih hak dia,” katanya.
Azizan berkata,
apabila disiasat, pegawai berkenaan mengatakan mereka diarah pemimpin
politik ketika itu menyebabkan tanah berkenaan tidak diubah syarat di
mana dua geran untuk satu tapak.
Projek lain yang
turut menimbulkan keraguan ialah Projek Jerai Internasional Park di
Tupah atas tanah 1145 ekar, usahasama antara syarikat dari Qatar dengan
PKB.
“Berdasarkan
perjanjian 40-60 (PKB/Qatar), tetapi PKB tak lantik perunding untuk
tindakan lanjut menyebabkan mereka tuntut RM2.2 juta kerana tidak patuhi
perjanjian. Kes ini masih dalam rundingan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.