Jumaat, 26 Oktober 2012

Belanjawan Rakyat – Memacu dan Membaikpulih

Oleh Edry Faizal

Seandainya pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi, paling lewat sekitar bulan April tahun depan. Belanjawan terkini yang dibentangkan baik daripada pihak Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, memberi gambaran kepada dasar-dasar dan hala tuju ekonomi apabila mereka menjadi nakhoda negara pada penggal seterusnya. Dengan tugas berat membawa negara berdepan badai ekonomi yang tidak menentu seperti diramalkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Warga yang celik sedar bahawa belanjawan merupakan pengurusan wang mereka oleh pemerintah yang mendapat mandat. Oleh itu rakyat berhak untuk tahu, apakah manfaat wang itu akan kembali kepada mereka? Jika manfaatnya akan kembali kepada rakyat, dalam bentuk apa? Adakah bentuk pengurusannya akan mengulangi pendekatan-pendekatan sebelum ini? Inilah antara soalan-soalan yang akhirnya membentuk soalan besar dan umum iaitu, bagaimana wang rakyat akan dibelanjakan?

Justru, menyedari betapa perlunya rakyat mendapat dan menghadam maklumat-maklumat itu lewat perbincangan, Roketkini yang merupakan sumber maklumat utama berbahasa Malaysia parti DAP menganjurkan forum “Bagaimana PR akan membelanjakan wang rakyat?” Panelisnya terdiri daripada Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud. Forum ini dipengerusikan oleh Penganalisis politik DAP Dr. Ong Kian Meng.

Para panelis bermula dengan perincian kepada Belanjawan PR 2013, masing-masing membentang dan mengupas juzuk-juzuk tertentu daripada Belanjawan tersebut. Dr. Siti Mariah membuka gelanggang menyentuh tentang kepentingan-kepentingan wanita yang diangkat oleh Belanjawan PR 2013. Beliau menjelaskan bagaimana hasil daripada penelitian dan penyelidikan Wanita Pakatan akhirnya melahirkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang menggariskan tujuh tuju tumpu mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup berkualiti, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
 
 Dari Agenda Wanita Malaysia Ke Belanjawan

Inti penting daripada AWM itulah yang kemudiannya disuntik ke dalam Belanjawan PR bagi mengiktiraf sumbangan besar wanita seraya membela nasib mereka. Seperti kita sedia maklum wanita memainkan peranan yang pelbagai. Sebahagiannya hanya menjadi suri rumah dengan pendapatan seisi rumah yang rendah. Kumpulan ini tidak mempunyai pencen mahupun sebarang caruman. Membuatkan mereka terdedah dengan pelbagai risiko dan masalah kewangan kelak.

Oleh itu Belanjawan PR 2013 menawarkan Caruman Wanita Nasional yang menurut Dr. Siti Mariah mempunyai ciri-ciri gabungan skim KSWP dan Perkeso. Bertindak sebagai jaring penyelamat buat wanita kerana golongan tersebut. Terutamanya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Suasana zaman ini juga mendesak wanita untuk turut keluar berkerja. Baik bagi tujuan membantu menambah pendapatan keluarga atau memberi sumbangan kepada negara. Dengan itu tanggungjawab untuk menjaga anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak lain yang mengambil upah penjagaan. Dengan itu kos bulanan yang terpaksa ditanggung sesebuah keluarga meningkat.

Menurut Dr. Siti Mariah, Belanjawan PR 2013 mengambil kira faktor itu dan turut menawarkan bantuan dalam bentuk RM1,000 setahun bagi wanita berkerja dengan pendapatan di bawah RM1,000. Dengan harapan bantuan itu dapat mengurangkan beban bagi yang menghantar anak ke pusat jagaan. Pentadbiran PR juga dikatakan akan memastikan pusat jagaan kanak-kanak yang disubsidi kerajaan ditambah di lokasi-lokasi strategik.

Pendekatan Segar

Rafizi Ramli pula menyentuh tentang BN yang semakin tenat serta tidak mempunyai sebarang ide baru untuk menyelesaikan masalah ekonomi, yang ironinya berpunca daripada mereka sendiri. Pendekatan yang diambil BN melalui belanjawannya tidak menyelesaikan masalah pokok sebaliknya hanya bertindak seperti ubat penghilang kesakitan. Melalui pendekatan lapuk BN membelanjakan wang rakyat, hutang negara akan terus menimbun. Hutang negara sekarang dianggarkan mencecah RM502 bilion atau 53.7 peratus daripada GDP. Belanja operasi terus meningkat dan kerajaan akan ketandusan wang yang perlu diperuntukkan buat kebajikan rakyat.

Oleh itu wang rakyat mesti diuruskan bagi melaksanakan pendakatan yang lebih berani dan bijak. Rafizi menjelaskan untuk menstrukturkan semua sistem ekonomi negara ini, PR akan menumpukan kepada tiga teras utama. Salah satunya berkenaan pendidikan. Ini penting untuk mengubah Malaysia daripada sebuah negara yang bergantung kepada komoditi kepada negara yang bergantung kepada modal insan, inovasi dan kreativiti.

 Menurut Rafizi puncanya terletak pada tindakan BN membiarkan syarikat-syarikat swasta yang kebanyakkannya syarikat kroni memaksimakan untung dengan kualiti pendidikan yang tidak berpatutan. Perkara itu berkait rapat dengan PTPTN. Ini kerana PTPTN yang selama ‘mendanai’ institusi-insitusi tidak berkualiti itu seraya mengenyangkan perut para kroni.

Hasilnya, pelajar yang keluar dari institusi tersebut dijerut hutang, pada masa sama tidak ada kepakaran untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi. Malah PTPTN juga berpotensi menyebabkan hutang negara menggunung kerana memandangkan PTPTN dijamin oleh Kerajaan. Laporan audit negara menganggarkan pada tahun 2020, hutang terkumpul peminjam PTPTN ini akan mencecah RM 40 billion. Suka atau tidak suatu hari nanti kerajaan terpaksa menjamin keluar PTPTN bagi mengelakkan ekonomi negara musnah.

Selain itu Rafizi juga menekankan tentang strategi serampang dua mata yang PR gunakan contohnya dalam mereformasikan sektor automotif. Kos melibatkan kereta, termasuklah hutang bulanan, pada tahap ekonomi mikro merupakan beban belanja paling besar bagi rakyat setiap bulan. Reformasi sektor automotif PR akan mengurangkan beban hutang rakyat apabila harga kereta turun. Ditambah apabila eksais duit diturunkan ia akan melepaskan RM7 bilion kepada ekonomi dan kembali ke saku rakyat.

Mengatasi Jurang Pendapatan

Apabila rakyat mempunyai wang mencukupi, mereka akan berkemampuan untuk menggunakan hasil keluarannya sendiri lalu memastikan ekonomi kekal aktif. Selain itu, jurang pendapatan yang melebar dan rakyat yang ekonominya ditekan boleh mengancam fabrik masyarakat itu sendiri. Charles Santiago membentangkan data yang mengejutkan. Pada tahun 2009, kelas 10% atas memperoleh pendapatan 34.8% manakala kelas 10% bawah memperoleh pendapatan 1.9%. Petunjuk jelas yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.

Sekalipun gaji minima ditawarkan sebagai salah satu jalan penyelesaian, gaji minima menghadapi beberapa stigma yang perlu ditepis terlebih dahulu. Antaranya dakwaan bahawa gaji minima akan mengakibatkan pengangguran atau menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar. Charles Santiago membawa sebuah kajian oleh Jeremy R. Magruder dari UC Berkeley berkenaan perlaksanaan gaji minima di Indonesia. Daripada kajian itu disimpulkan bahawa gaji minima tidak menyebabkan meningkatnya pengangguran dan lebih ramai pekerja dari sektor tidak formal menyertai sektor formal.

Gaji minima juga menyebabkan banyak peluang kerja dan perniagaan baru tercipta. Dalam erti kata lain, ia membantu perniagaan, membantu pekerja, meningkatkan kualiti hidup dan membantu mengurangkan jurang pendapatan. Charles Santiago juga menekankan tentang dana peralihan bagi membantu pihak yang akan menghadapi kesukaran apabila dilaksanakan gaji minima. Menonjolkan model yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor sebagai contoh.

Memandangkan BN dan PR kedua-duanya menawarkan gaji minima. Persoalan yang relevan adalah mengapa RM900 atau RM1,100? Charles Santiago menjelaskan bahawa RM1,100 lebih masuk akal kerana atas beberapa sebab. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, kebanyakkannya bergaji hampir RM900. Ini bermakna mereka tidak langsung terkesan dengan gaji minima BN. Kajian Bank Dunia yang bertajuk “Optimal design for a minimum wage policy in Malaysia” menyebut RM900 atau RM1,100 adalah gaji minima yang sesuai.

Oleh itu menjadi persoalan mengapa BN tidak memilih nilai yang lebih tinggi seperti yang ditawarkan PR supaya kualiti hidup rakyat benar-benar dapat ditingkatkan? Inilah penanda aras kepada siapa yang benar-benar serius terhadap gaji minima.

Belanjawan Holistik

Di penghujung wacana, para panelis menekankan bahawa belanjawan PR adalah penyelesaian ekonomi yang menyeluruh. Apabila PR berada di tampuk pentadbiran, sebuah penstrukturan semula ekonomi akan dilakukan. Ini kerana masalah yang akan diwarisi sudah sangat berselirat maka penyelesaiannya juga akan saling berkait. Sebagaimana reformasi automotif yang melibatkan pengurangan eksais duti kereta tidak boleh dilihat terpisah dengan reformasi pengangkutan awam dan lain-lain.

Selain itu perkara paling pokok bukanlah semata-mata berkenaan jumlah perbelanjaan atau pendapatan, tetapi sejauh mana kerajaan dapat berbelanja dengan cekap. Ini kerana sekalipun hasil yang diperolehi rendah, tetapi akan memberikan kesan baik sekiranya dibelanjakan dengan cekap dan terus kepada sektor-sektor yang membangunkan ekonomi.

PR telah membuktikan melalui negeri-negeri di bawah pentadbiran PR yang turut dipuji Ketua Audit Negara. Mengambil Selangor sebagai contoh, pada 2011 hasil kerajaan negeri Selangor cuma RM1.6 bilion tetapi lebihan terkumpul sudah mencecah RM1.9 bilion. Oleh itu, belanjawan bukanlah tentang perbelanjaan dan hasil semata, tetapi perbelanjaan yang efektif berhubungan dengan perbelanjaan dan hasil.

Dapat disimpulkan bahawa Barisan Nasional merangka belanjawan mereka dengan premis bahawa negara ini dalam keadaan baik dan tiada apa perlu dibimbangkan. Ini bertujuan supaya rakyat merasakan tiada sebarang masalah dengan pemerintahan mereka. Dan mereka teruskan saja apa yang telah biasa diamalkan saban tahun. Sementara Pakatan Rakyat merangka belanjawan mereka dengan premis bahawa negara ini sedang menghadapi krisis hutang. Ditambah pula dengan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi maka satu penstrukturan semula dan menyeluruh diperlukan.

Pilihan telah ada, kini nasib negara bergantung pada kuasa yang ada di tangan rakyat. – Roketkini.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.