Jumaat, 26 Oktober 2012

Adakah Soi Lek tukar MCA kepada parti pendusta?

Lim Kit Siang,


Adakah Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah menukar MCA kepada “Malaysian Charlatans (Pendusta) Party” dengan mendiamkan diri terhadap jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen berkenaan hudud pada Selasa lalu, lantas mendedahkan kepura-puraan kempen MCA ke atas hudud sejak dua tahun lalu?

Semalam, dalam kenyataan media saya ““Perjanjian Syaitan” UMNO/MCA disahkan oleh Mahathir dalam tempoh 24 jam”, saya telah melontarkan sebuah soalan kepada Chua dan pemimpin MCA adakah jawapan Parlimen Jamil yang menyebut “jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia, ia tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas bukan Islam” itu mewakili pendirian MCA di dalam Kabinet dan Barisan Nasional, “jika tidak, apa yang akan mereka lakukan tentangnya”.

Masih tiada jawapan lagi dan yang ada cuma senyap sunyi!

Bagaimana ini boleh terjadi apabila sejak dua tahun lalu, Chua telah mengepalai puak-puaknya yang terdiri daripada menteri-menteri dan timbalan menteri MCA mengelilingi negara dengan satu-satunya tema kempen iaitu – adalah “tipu” untuk mengatakan hudud tidak akan melibatkan orang bukan Islam.

Melalui gaya Chua dan pemimpin-pemimpin MCA dalam kempen jelajah negara mereka sejak dua tahun lalu, mereka tentu sekali akan “memarahi” Jamil kerana “menipu” di Parlimen, adakah mereka akan meminta tindakan yang keras terhadap Jamil daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memandangkan jawapan parlimennya bercanggah dengan pendirian empat Menteri Kabinet MCA dan pemimpin peringkat nasional MCA di dalam Barisan Nasional atau adakah MCA akan memutuskan perikatannya dengan UMNO disebabkan jawapan parlimen Jamil?

Atau adakah Chua dan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin MCA cuma bermain politik, tanpa benar-benar yakin dengan apa yang diperjuangkan, dan peranan mereka hanyalah seperti yang digambarkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir  iaitu: ““pendirian tidak bertolak ansur” MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan “menakut-nakutkan” komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam”, disebabkan itulah MCA “tidak pernah membantah” apabila Mahathir secara sebelah pihak, sembarangan dan tidak mengikut perlembagaan membuat “deklarasi 929” bahawa Malaysia adalah Negara Islam pada Persidangan Delegasi Nasional Gerakan, 29 September 2001.

Tidak seperti MCA, pendirian DAP terhadap hudud jelas, konsisten dan berpegang pada prinsip – bahawa ia tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia yang majmuk dan ia bukannya sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat. Sebaliknya, MCA hanya memainkan wayang politik yang tidak bertanggungjawab memandangkan apabila sampai kepada analisis terakhir, mereka akan menurut kehendak dan arahan UMNO sebagaimana yang terjadi ketika “Deklarasi 929” yang tidak mengikut perlembagaan mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.