Sembilan
penumpang cedera parah, sementara 19 lagi cedera ringan selepas bas
ekspres dinaiki terbalik dan terseret sejauh 30 meter di Kilometer
233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Rembau Negeri Sembilan,
awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas ekspres
yang bertolak dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Perlis itu
hilang kawalan selepas dihalang sebuah kereta di hadapannya sebelum
terbabas.
Pemandu bas terbabit, Mazlan Mohd Salleh, 51, berkata, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 10 malam.
“Bagaimanapun, ketika memandu, ada sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam seolah-olah cuba menghalang perjalanan saya.
“Saya
memandu di laluan kiri dan kereta berkenaan juga dipandu perlahan di
laluan sama. Saya cuba memotongnya tetapi pemandu kereta terbabit
bertindak memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak dapat
memintasnya,” katanya.
Menurutnya,
cubaannya untuk memotong kereta dinaiki dua lelaki itu sekali lagi
gagal apabila dihalang, malah kereta terbabit secara tiba-tiba menekan
brek.
“Saya
terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan bas hilang kawalan
dan terhuyung-hayang, sebelum terbalik dan terseret kira-kira 30 meter.
“Kejadian
berlaku dalam sekelip mata dan saya dengar jeritan penumpang yang
ketakutan,” katanya yang berpengalaman memandu bas selama 29 tahun.
Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.
Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.
Sementara
itu, seorang penumpang, Nurul Rozaima Rolan, 24, berkata, dia terkejut
apabila berasakan bas terhuyung-hayang kerana mengelak sesuatu sebelum
terbalik.
“Semasa
dalam perjalanan, saya tertidur, tetapi terjaga apabila menyedari bas
bergegar kuat sebelum terbalik, menyebabkan saya tercampak ke tempat
duduk penumpang sebelah kanan dan bertindih dengan penumpang lain.”
katanya.
Ketua
Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pemangku Penguasa Bomba,
Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.12 pagi.
Menurutnya,
enam anggotanya dikerah ke lokasi kejadian dan turut dibantu dua
jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau.
“Tiba di
lokasi kejadian, sebahagian penumpang masih terperangkap di dalam bas
sebelum dibantu keluar menerusi cermin hadapan,” katanya.
Sementara
itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd
Farid Hasan berkata, sembilan penumpang cedera dan menerima rawatan
kecemasan di lokasi kejadian.
“Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk rawatan lanjut menggunakan lima ambulans,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.