KEADILAN DAILY
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat negara ini menyingkap semula lembaran sejarah dan memberi makna baru bagi kemerdekaan tanah air.“Mari lah menggilap semula semangat perjuangan, memberi makna kemerdekaan. Kemerdekaan menjanjikan kebebasan dan kebajikan kepada rakyat, bukan segelintir pemimpin.
“Kemerdekaan menjamin kepedulian, siapa saja yang mendapat amanah untuk memimpin negara, mereka tidak mendapat mandat sepertimana penjajah. Mandat itu dinilai oleh rakyat hanya setelah mereka terbukti dapat memberikan khidmat, pengorbanan dan kebajikan sebaiknya kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata demikian ketika sambutan Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Shah Alam malam tadi.
“Dalam menyingkap lembaran sejarah ini, kita harus insaf bahawa kemerdekaan tidak dicapai dengan seruan dan slogan,
“Kemerdekaan dicapai dengan sumbangan ibu bapa kita yang bertungkus lumus dan sejarah yang lalu, ada yang korbankan nyawa dengan menentang kuasa besar penjajah Inggeris.
“Tokoh besar nasional, Almarhum Datuk Onn Jaafar, Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy dan lain-lain seangkatan harus kita hargai dan perlu ketika ini kita singkap sejarah perjuangan mereka,” ujar Anwar.
Sambutan kemerdekaan yang bertemakan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ itu dihadiri lebih 30,000 rakyat serta dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan Exconya.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan perbarisan dan kesenian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri.
Menurut Anwar, generasi sekarang khususnya generasi muda harus menanyakan kembali erti kemerdekaan yang menjamin kebebasan, di mana dasar negara, ekonomi dan budaya ditentukan oleh rakyat sendiri.
“Kemerdekaan beerti, negara tahu peritnya penjajahan, kita benci dengan imperialisme atau kolonialisme sebab ada unsur penindasan.
“Oleh itu soal legitimasi pemerintahan mana-mana negara dalam negara merdeka itu harus ditentukan secara yang sah, pilihan raya yang bersih dan teratur, dan itu semangat kemerdekaan yang dijanjikan dalam perisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
“Kita mesti hentikan dasar yang membolehkan segelintir orang memunggah kekayaan dan meminggirkan rakyat. Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim menekankan supaya khazanah Selangor dipulangkan kepada rakyat Selangor, ini erti semangat kemerdekaan.
“Semangat kemerdekaan itu tidak berhenti dengan perbarisan, dengan pesta-pestaan.
“Semangat kemerdekaan itu harus mampu menimbulkan rasa kecintaan kepada negara dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh generasi hari ini,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.