SUARA KEADILAN
KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan mengambilalih Lebuhraya Penyuraian Timur (Eastern Dispersal Link atau EDL di Johor membuktikan prinsip ekonomi yang disyorkan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) adalah tepat.Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, keputusan terbaru kerajaan itu sekaligus menolak tuduhan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) yang mendakwa prinsip ekonomi Buku Jingga boleh menyebabkan negara muflis.
Katanya, dasar Pakatan Rakyat adalah menetapkan pengambilalihan konsesi tol dengan matlamat menghapuskan tol sebagai satu daripada 10 program pertama yang akan dilaksanakan jika berkuasa.
“Ini berasaskan fakta bahawa jumlah bebanan yang ditanggung rakyat dan kerajaan (dalam bentuk tol yang dibayar dan pampasan tahunan kepada pemegang konsesi) adalah jauh lebih mahal daripada kos operasi dan kadar pulangan pelaburan yang munasabah yang ditanggung oleh pemegang konsesi seperti PLUS,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun katanya, beliau khuatir jika pengambil alihan itu adalah helah supaya wang rakyat disalur kepada syarikat-syarikat yang rapat dengan Umno BN, terutama apabila pemegang konsesi EDL adalah MRCB yang rapat dengan Umno.
“Kebelakangan ini, ada satu kegilaan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menggunakan dana rakyat dan membeli pelbagai aset dan konsesi kroni yang jumlah urusniaganya mencecah berbilion ringgit.
“Kesemua urusniaga ini, termasuklah yang terbaru pembelian EDL oleh kerajaan Malaysia dibuat dalam suasana penuh kerahsiaan. Nilaian harganya tidak melibatkan tokoh-tokoh lain yang boleh memastikan rakyat tidak ditipu dan tidak ada unsur-unsur penyelewengan,” katanya yang memberi contoh pembelian dua syarikat penjana bebas dari kumpulan Genting dan Ananda Krishnan pada harga melampaui RM7 bilion.
Justeru itu katanya, beliau mengesyorkan pimpinan PR menggerakkan rakyat menuntut dua perkara antaranya mendesak Najib umumkan senarai lebuhraya dan konsesi akan diambil alih kerajaan dan sebuah Jawatankuasa Parlimen (PSC).
“Sebuah Jawatankuasa Parlimen (Parliamentary Select Committee) perlu ditubuhkan dalam sidang dewan akan datang untuk mengkaji, menyemak dan memastikan kesemua urusniaga yang melibatkan pembelian aset besar dari syarikat berkepentingan dibuat secara adil dan tiada unsur penyelewengan.
“KEADILAN akan membawa isu ini ke sidang Parlimen akan datang untuk diberikan perhatian utama,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.