MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR-AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin memperlihatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menjadikan sambutan 55 tahun kemerdekaan sebagai satu peristiwa yang bersejarah kepada negara ini.
Menurutnya lagi, rakyat telah menunjukkan bantahan mereka terhadap sambutan kemerdekaan tanpa bersembunyi dengan tidak mengibarkan Jalur Gemilang seperti mana yang dilakukan sebelum ini.
"Saya melihat satu yang begitu aneh berlaku apabila rakyat tidak mengibarkan Jalur Gemilang sedangkan esok adalah sambutan hari kemerdekaan negara.
"Mood rakyat cukup muram dan mereka telah menunjukkan bantahan secara terbuka terhadap sambutan kali ini yang dilihat lebih terjurus kepada agenda parti Barisan Nasional," jelasnya ketika ditemui di lobi Mahkamah Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, rakyat menunjukkan tanda kecewa serta marah mereka terhadap kerajaan apabila sambutan kemerdakaan kali ini telah diperalatkan sepenuhnya oleh Barisan Nasional untuk mencari populariti mereka.
"Malapetaka kepada rakyat Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila sambutan kerajaan pincangkan maksud sebenar kemerdekaan.
"Saya melihat rakyat sekarang hanya menunggu untuk membuat perubahan besar pada pilihanraya yang akan datang dan mereka sudah mula bosan dengan apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional tidak meletakkan hak rakyat sepenuhnya tetapi lebih kepada agenda parti," ujarnya yang juga mantan Menteri Besar Perak.
Dalam pada itu, beliau juga turut melahirkan kekesalan apabila wujud paksaan kepada kakitangan awam agar hadir pada himpunan Janji Ditepati di Stadium Bukit Jalil.
"Pada sebelah pagi mereka diarahkan ke Dataran Merdeka tetapi sebelah malamnya pula sekali lagi arahan dikeluarkan agar hadir ke himpunan di Bukit Jalil.
"Kesal kenapa ini berlaku, kakitangan awam ada yang bantah kerana cuti umum sepatutnya digunakan untuk menziarahi saudara mara sempena Hari Raya namun sebaliknya berlaku," kata beliau.
Beliau juga turut menjangkakan sambutan Janji Bersih pada malam ini akan memperlihatkan kehadiran yang cukup ramai kerana rakyat sekarang berada dalam keadaan ingin melakukan perubahan.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.