Khamis, 30 Ogos 2012

Hari Kemerdekaan: 2 acara utama meriah

SINAR HARIAN

Hari Kemerdekaan: 2 acara utama meriah
Pelajar bersedia melakukan raptai bagi Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka di sini, semalam.
 
KUALA LUMPUR - Dua acara utama diatur bagi memeriahkan sambutan Ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-55 Jumaat ini dimulakan dengan perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 2012 di Dataran Merdeka, di sini.

Program di Dataran Merdeka esok akan bermula pada jam 8.10 pagi bertemakan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati mengandungi lima segmen persembahan iaitu segmen Rukun Negara yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran, segmen pemimpin masa hadapan yang akan diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Segmen Janji Ditepati diselaraskan Jabatan Perdana Menteri, segmen Gegar Merdeka diselaraskan oleh Angkatan Tentera Malaysia yang membabitkan perarakan ketenteraman awam dan sukarelawan, kontinjen perwira veteran, pertunjukan udara dan kontinjen kawad pasukan keselamatan.

Segmen terakhir iaitu segmen Bangga Menjadi Rakyat Malaysia diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta bacaan ikrar yang akan dibacakan oleh 55 pembaca ikrar serta persembahan dengan lima susunan lagu iaitu Drumline, Nadi Rakyat, Tanggal 31 Ogos, 1Malaysia dan Jalur Gemilang.

Sejurus selesai, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan titik sentuhan bersama peserta di mana beliau dijadual memberi ucapan ringkas terima kasih serta menyaksikan persembahan khas daripada peserta IM4U, demikian menurut atur cara sambutan yang dikeluarkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. 

Pada sebelah malamnya, akan berlangsung Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dimulakan dengan acara #Tweet Paling Banyak Dalam masa Satu Jam Di Malaysia.

Kelmarin, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, 1 juta tweet berunsurkan patriotik dan cintakan tanah air dari seluruh pengguna Twitter di Malaysia disasarkan untuk memecahkan rekod dunia.

Pengguna Twitter di Malaysia boleh melakukan tweet dalam tempoh waktu satu jam dari jam 8.15 malam hingga 9.15 malam dengan mengikutinya di laman Tweet #Merdeka55 sebelum Tweet Up Merdeka bersama PM bermula jam 9.35 malam.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri Kabinet, komponen Barisan Nasional dan Generasi Y juga akan mengelilingi stadium menerusi acara Jalan Kaki Perpaduan atau Unity Walk.
Pada malam itu juga akan diadakan penyampaian hadiah pertandingan Rangka Kerja Abad Ke-21, Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Pencapaian Cemerlang kepada lapan orang ikon.

Perhimpunan yang julung kali diadakan itu juga akan diserikan dengan empat persembahan khas Janji Ditepati iaitu Tarian Kilat IM4U, persembahan kumpulan Soka Gakkai Malaysia, Go Malaysia Go dan Dikir 1Malaysia di samping persembahan lagu Nadi Rakyat serta pertunjukan bunga api.

Perdana Menteri juga akan bersama khalayak di luar stadium untuk acara Merdeka Raya pada akhir program. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.