Oleh: Mat Zain Mat Isa
“Tiga ratus (RM)? Tak banyak ke tu?”, terjah ketua sebuah cawangan PAS. Beliau lantas mencadangkan agar jumlah itu dikurangkan separuh (RM150), atau paling banyak pun hanya RM200.
“Tak sampai hati lah nak bagi Abang Mat RM200 je. Penat-lelah dia mari jauh-jauh, minyak kereta lagi, belanja makan-minum dia pulak. Kalau ikutkan, RM300 tu pun tak padan,” sanggah bendahari cawangan pula.
Agak berpanjangan juga kira bicara antara mereka dan beberapa yang lain di belakang pentas. Perkara dibahaskan ialah soal wang saguhati yang nak diberikan kepada penceramah utama dalam majlis yang sedang berlangsung.
“Alahh... dia mari jauh-jauh pun, bukan untuk ceramah kat kita setempat jah. Malam kelmarin di Kemaman, semalam (malam tadi) kat Tok Guru (di Rusila, Marang), malam esok katanya di Kubang Kerian. Tiga-empat malam juga sekaligus... situ sikit, sini sikit (saguhati), jadi banyak la tu...”, bentak seorang petugas, cuba menjustifikasi angka dicadangkan sang ketua tadi.
Di atas pentas, penceramah dimaksudkan sedang menguasai malam itu. Kelantangan suaranya mengemukakan hujah dan fakta, diselang-seli dengan jenaka dan usikan, benar-benar menghidupkan majlis itu. Dari belakang terlihat jelas bajunya lencun dek kesungguhan memberi penerangan kepada hadirin.
Beliau tidak lain daripada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu. Ya.. siapa tidak kenal penceramah tersohor yang lebih mesra dipanggil Abang Mat itu. Beliau antara hanya segelintir penceramah PAS yang mampu mengekalkan populariti menjangkau tiga dekad. Keupayaannya memukau pendengar amat sukar ditandingi.
Beliau dianggap penceramah paling top sepanjang zaman. Itu semua orang tahu dan rasanya tidak ada masalah bagi sesiapa pun untuk memperakui hakikat itu. Melainkan orang itu memang “ada masalah” dengan Abang Mat.
Namun, yang tidak ramai orang mahu ambil tahu ialah soal pembiayaan perjalanan beliau ke sana ke mari. Boleh jadi mereka beranggapan itu bukan urusan mereka. Boleh jadi juga mereka sudah sedia maklum mengenai “nasib” penceramah PAS atau tahap kemampuan parti mereka dalam hal itu.
Sebab itu, dalam tradisi PAS tidak pernah berlaku kes penceramah ambil kesempatan atas popularitinya untuk menentukan harga kemunculannya. Jangan dikatakan untuk memastikan bayaran sejumlah ditetapkan, di ketika tertentu bilamana penganjur menghulurkan jumlah terlalu jauh dari mencukupi pun, amat sukar kedengaran sebarang rungutan daripada mereka. Pejuang tulen seperti mereka terbukti tidak pernah meletakkan soal imbuhan sebagai syarat kehadiran ke mana-mana tempat.
Penulis tidak bermaksud menyanjung peribadi pejuang itu secara berlebihan. Kerana, turut layak berkongsi penghargaan serupa, pada pandangan penulis ialah beberapa pejuang mustadhafin lain yang seangkatan dan senasib dengan Abang Mat. Antara mereka termasuklah Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Almarhum Ustaz Buniyamin Yaakob.
Kesemua mereka adalah penceramah bertaraf “A” dalam PAS. Tapi kesemua mereka juga ada cerita tersendiri mengenai kes-kes “memilukan”. Contohnya, antara mereka ada yang berbekalkan hanya beberapa ringgit menempuh perjalanan beratus batu semata-mata untuk memenuhi undangan daripada ahli PAS.
Mereka tetap hadir, walau pun tidak ada sebarang jaminan akan diberikan saguhati berbaloi atau sekurang-kurangnya berpadanan dengan kepenatan, keluangan masa dan seumpamanya. Sedangkan mereka adalah penceramah sepenuh masa, dan tidak ada masa terluang lagi untuk melakukan kerja lain untuk kehidupan mereka.
Itulah keadaan menimpa mereka, sekurang-kurangnya untuk belasan tahun sehingga mereka dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya, walau pun elaun wakil rakyat bukan alasan untuk mereka tidak berhak mendapat bayaran saguhati.
Mendetailkan kes yang berlaku ke atas Abang Mat dan lain-lain itu hanyalah sebagai kes kajian untuk dijadikan contoh. Mudah-mudahan imbauan semula apa yang berlaku ke atas mereka itu memudahkan mereka yang belum faham, agar memahami keperitan perjuangan PAS. Bahawa parti ini adalah parti yang miskin, parti mustadhafin, yang bergerak sepenuhnya di atas pembiayaan poket-poket ahlinya.
Bahawa soal kewangan amat sensitif dan dititikberatkan dalam PAS. Ibarat kata orang Amerika, “they watch every dime” (mereka meneliti setiap puluh sen) dalam membelanjakan duit parti. Sebab itu soal pemberian saguhati kepada penceramah sering menjadi perkara yang diambil beratkan.
Maka, sekiranya “terlalu banyak” bahagian daripada hasil kutipan derma ceramah dihabiskan untuk belanja “duit minyak” penceramah, ia tentunya suatu yang tidak menyenangkan mereka. Malangnya, itulah yang mula kedengaran mutakhir ini.
“RM2,500 sekali ceramah? Uyyoo... mana ada duit. Nak cari mana tu? Kalau orang (pendengar) mari 10 ribu pun, belum tentu boleh kutip RM3,000. Belanja-belanja lain macamana?”, rengus seorang ketua cawangan yang ditawarkan kehadiran seorang pendatang baru di pentas PAS.
Yang lain pula sempat membandingkan, “tu (RM2,500) kalau bagi Mat Sabu RM500 sekali ceramah pun, boleh dah panggil lima kali dia mari (ceramah)”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.