Isnin, 30 Julai 2012

Konsep 1Malaysia Umno-BN hipokrit


Oleh TAMRIN TUN GHAFAR
 
KETIKA Perdana Menteri melaungkan konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan sama sekali dengan amalan Umno itu sendiri yang tidak pernah meletakkan calon bukan Melayu bertanding dalam pilihan raya berbanding DAP yang dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu bertanding atas tiketnya.

PAS yang dituduh mengamalkan fahaman Islam sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.

Selain Umno yang tidak pernah memilih bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai calon mereka.

Kata mereka lagi, sepatutnya Umno, MCA dan MIC mencontohi PAS dan DAP.

Dalam hal ini, siapakah yang rasis sebenarnya? Malahan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.

Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti kepada kita bahawa DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu bertolak ansur dalam perkaraperkara tertentu yang melibatkan Islam.

Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, “Kita, MCA berani memberi kata dua kepada pemimpin Umno” (We, MCA dare to tell off Umno leaders) dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan bahawa DAP menghormati Islam dan PAS pun tidak mempersendakan agama dan kefahaman bukan Islam.

Saya sendiri hairan dan amat sedih dengan sikap berdiam diri Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sanggup membiarkan pemimpinpemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih undi masyarakat bukan Islam.

Dalam isu royalti minyak untuk rakyat Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti minyak itu sebagaimana yang telah dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Tindakan Najib enggan memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adalah sesuatu yang amat menghairankan jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Tengku Razaleigh dan beberapa yang lain semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti minyak sebanyak 5 peratus diberikan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan tidak dihormati.

Bukankah rakyat Kelantan juga adalah rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai seperti orang lain? Mengapakah mereka dianaktirikan semata-mata kerana faktor politik?

Baru-baru ini saya ke Kota Bharu bersama Tengku Razaleigh.

Saya amat hairan mengapa pemimpin-pemimpin Umno Kelantan termasuk Dato’ Mustapa Mohamed dan Dato’ Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin Umno bahagian bermati-matian menentang PAS yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan.

Di manakah perjuangan Umno untuk rakyat sebenarnya? Mereka sepatutnya berasa malu mengaku berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.

Bermula dengan Terengganu apabila Umno-BN di bawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan “wang ihsan” sehingga ke hari ini.

Ini kerana kerajaan PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebabsebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

Kini trend yang sama diguna pakai oleh Najib sendiri. Sepatutnya Najib tidak mengikuti jejak langkah Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai perasaan dan hati perut.

Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji Najib “rakyat didahulukan” melainkan Najib, Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussain, Fatmi Che Salleh dan pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari negara ini.

Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak?

Mustapa hanya bernasib baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi kemenangan kepada beliau.

Semasa Tengku Razaleigh selaku Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan negerinegeri, Najib hanya seorang junior officer yang ditempatkan di Pejabat Presiden Petronas ketika itu.

Jika Najib sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan dan memulangkan hak mereka sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain.

Perkara ini boleh dilakukan oleh Najib jika beliau mahu. Mengikut pengalaman, pasti selepas saja Najib membuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini pemimpinpemimpin Umno dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan akan mendabik dada mengatakan perjuangan mereka selama ini telah berhasil.

Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen radio dan TV akan memberi headline sensasi seperti “Najib Pemimpin Rakyat Sebenarnya” dan lain-lain tajuk lagi.

 Penulis ialah ahli Umno dan bekas Pengerusi MARA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.