Selasa, 26 Jun 2012

Persoalan PTPTN dan Kedangkalan UMNO


Oleh Khalid Samad


Saya terkejut mendengar keputusan yang diumumkan pimpinan UMNO bahawa bantuan PTPTN tidak lagi wujud untuk para pelajar UNISEL. Walaupun isu ini telah hampir sebulan berlalu, tetapi kerana tindakan kolot sebegini telah pun menjadi sebahagian dari modus operandi mereka sejak dari dahulu lagi; maka adalah wajar bagi saya memberikan sedikit ulasan agar menjadi terang lagi bersuluh tentang dasar politik sebuah parti yang dikenali sebagai UMNO ini.

Apa yang jelas untuk semua menilai ialah ianya merupakan politik dendam dan kotor yang sanggup memangsakan rakyat semata-mata atas kepentingan politik UMNO. Pada masa yang sama juga ianya membuktikan tanpa syak lagi bahawa UMNO juga tidak mengambil berat bahawa tindakan yang diambil akan menjejas masa depan Majasiswa UNISEL yang majoritinya adalah Melayu. Maka menjadi jelaslah pada semua, UMNO tidak memperjuangkan nasib Melayu tetapi apa yang lebih penting dari itu ialah nasib UMNO. Dan apabila nasib UMNO terjejas, maka nasib Melayu sanggup dikorbankan oleh UMNO tanpa berfikir panjang.

Mungkin juga tindakan mereka itu adalah bertujuan supaya kerajaan Negeri Selangor melutut merayu agar dibuka kembali peluang untuk mendapat bantuan PTPTN untuk para pelajar UNISEL. Dengan itu akan ditempelak kerajaan Negeri Selangor sambil dengan sombong berkata, “inilah buktinya! Kerajaan PR tidak mampu dan janji menghapuskan PTPTN adalah janji kosong semata-mata!”

Walaubagaimanapun, terkejut-beruk mereka apabila TS Abdul Khalid mengistiharkan bahawa UNISEL akan jual asetnya sebagai usaha menampung kos pendididkan mahasiswa UNISEL! Dalam keadaan itu, di mana kerajaan PR Selangor menangani permasalahan pinjaman PTPTN dengan sanggup membiayai para pelajar UNISEL dari sumber sendiri, maka UMNO terus bertindak menarik balik keputusan mereka. Jika tidak, maka semakin parah kedudukan mereka di kaca mata rakyat dan semakin naiklah imej kerajaan PR Negeri Selangor! Untuk mengelak kerugian politik dan disebabkan itu SEMATA-MATA, maka keputusan itu ditarik balik dan Majasiswa UNISEL dibenarkan untuk memohon pinjaman PTPTN.

UMNO sememangnya tidak memahami bahawa rakyat mempunyai hak dan segala cukai yang dikutip dari rakyat perlu digunakan dengan cara yang menguntungkan rakyat. Bukan digunakan sebagai kekuatan kewangan untuk mengugut atau merasuah rakyat supaya menolak PR atau menyokong BN!

Tuntutan supaya PR melaksanakan dasar pendidikan percuma di peringkat Negeri PR tidak masuk akal kerana sumbangan cukai dan pendapatan dari rakyat dan kesemua Negeri termasuk Selangor, telahpun diserahkan kepada pusat untuk melaksanakan dasarnya bagi setiap sektor termasuk sektor pendidikan. Kerajaan BN kurang mementingkan sektor pendidikan dan oleh itu menentukan sesuatu bajet yang tidak memungkinkan pendidikan percuma dinikmati rakyat. Ataupun, mungkin bajetnya cukup pada dasarnya tetapi disebabkan amalan ketirisan, kebocoran dan kronisma, maka ianya tidak mencukupi. Dengan itu rakyat terpaksa berhutang, termasuk melalui PTPTN, untuk menyempurnakan proses pendidikan anak masing-masing.

InsyaAllah PR akan melaksanakan dasar pendidikan percuma sekiranya diberi amanah untuk memerintah di pusat. Ini adalah kerana kewangan peringkat Pusat adalah terdiri dari cukai dan pendapatan yang dikutip dari seluuuruh rakyat dan Negeri di Malaysia. Melalui kutipan ini maka Pusat perlu melaksanakan dasar pertahanan, pendidikan, kesihatan, keselamatan awam dan lain-lain. Jumlah perbelanjaan bagi setiap satu sektor adalah bergantung kepada sejauh mana ianya dianggap penting dan keperluan asas bagi rakyat. Bagi PR, pendidikan adalah di antara sektor yang diutamakan dan oleh itu sektor pendidikan akan diberikan bajet yang mencukupi demi menjamin terlaksananya dasar pendidikan percuma.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.