Selasa, 26 Jun 2012

NGO Umno ganggu himpunan sokong royalti esok?

Rizal Tahir,   


KOTA BAHRU: Ketika rakyat Kelantan mahu menganjurkan pra-himpunan royalti bagi menjunjung Titah Sultan Muhammad V di hadapan Kota Darulnaim pagi esok, NGO yang didalangi Umno juga dfahamkan mahu berhimpun di lokasi sama.

Aktivis Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti), Jeming Hassan berkata, perhimpunan itu dikatakan didalangi Tukar dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.

“Perhimpunan dianjurkan Royalti (R) mendapat kelulusan polis bagi menyokong titah baginda Sultan mendaratkan gas di Kelantan.

“Sedangkan satu lagi didalangi Tukar dan MTRK yang cuba menyaingi perhimpunan anjuran Royalti. Jadi saya mahu Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari menjelaskan perhimpunan yang mana haram,” katanya ketika mengutarakan soalan pada wacana perdana di Balai Islam malam tadi.

Sementara itu Presiden Royalti, Nazri Deraman berkata, pra-himpunan tersebut diadakan bertujuan menyerahkan Memorandum Tuntutan dan juga Plak Royalti yang ditandatangani Sultan Kelantan dan Menteri Besar kepada pihak kerajaan negeri.

“Mereka yang berminat menyertai pra himpunan tersebut diminta berpakaian warna merah, putih atau merah putih mengambil kira warna bendera Kelantan.

“Peserta dilarang membawa bendera mana-mana parti politik atau  bahan yang mempunyai logo mana-mana parti politik. Hanya bendera negeri, organisasi NGO atau lambang “R” sahaja dibenarkan,” katanya di sini.

Beliau berharap setiap peserta berhimpun dalam keadaan aman dan tidak cuba menimbulkan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan suasana tidak baik. Program berkenaan akan bermula jam 9.

Katanya juga Royalti menghantar seorang wakil dan dua peguam bagi memaklumkan himpunan tersebut kepada pihak polis.

“Pihak polis bersetuju untuk memberi kerjasama bagi melancarkan perjalanan program pagi esok. Kami mengucapkan ribuan terima kasih.

“Kami juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya program pra himpunan royalti tersebut tidak mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Nazri berkata, kerajaan negeri difahamkan bersetuju menerima memorandum dan plak royalti tersebut.

Dalam perkembangan lain Royalti menyifatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak dapat membezakan di antara royalti dan wang ihsan.

Setiausaha Royalti, Hishamuddin Ghazali berkata, apakah Ketua Pemuda tidak tahu pembayaran royalti kepada Kelantan tidak pernah dibuat Petronas sejak minyak dan gas disedut keluar dari bumi Kelantan pada 2005.

Katanya, dari manakah Khairy mendapat maklumat kononnya Kelantan menerima royalti.

Baru-baru ini Khairy dalam laporan media baru mendakwa Kelantan telah diberikan royalti minyak melalui jawatankuasa diketuai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.