Nazri Abdullah, |
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendakwa wujud penipuan dalam prospektus Felda Global Ventures Holding (FGVH).
Dalam prospektus itu menurut Mazlan, FGVH menyenaraikan tanah-tanah kerajaan negeri yang sebenarnya tidak pernah diserah kepada FGVH termasuk di Kelantan Perak dan Johor.
"Saya ditunjukkan surat permohonan oleh Tan Sri Isa Samad untuk mendapatkan tanah-tanah itu tetapi Menteri Besar Kelantan (Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah menolak.
"Dah ditolak kenapa masih masukkan dalam prospektus ini, tidak relevan sama sekali," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Dalam pada itu Mazlan juga mendakwa FGVH turut mencagarkan tanah berpeneroka termasuk 18,000 hektar di Negeri Sembilan yang belum mendapat hak milik.
Bagaimanapun maklumat lanjut berkaitan perkara itu akan didedahkan kemudian selepas mandapat maklumat terperinci mengenai tanah tersebut.
Beliau juga memberitahu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dijemput untuk turut serta mengetuai 'Himpunan Oren Selamatkan Felda' pada 14 Julai ini.
Selain Abdullah, bekas timbalan perdana menteri iaitu Tun Musa Hitam dan bekas Menteri Kewangan Tengku Raleigh Hamzah.
"Kita akan jumpa dengan semua tokoh-tokoh ini dalam masa terdekat dan hantar jemputan dengan tangan.
"Kita percaya mereka-mereka ini akan bersama kita dalam isu ini," katanya.
Menurut Mazlan, jemputan terhadap Tun Abdullah adalah kerana bekas perdana menteri itu pernah membatalkan hasrat penyenaraian Felda Holding yang dicadang Tun Dr Mahathir pada tahun 2004.
"Penyenaraian ketika itu dicadangkan Tun Mahathir, tapi bila Tun Abdullah jadi perdana menteri pada 2004, dia telah membatalkan cadangan tersebut," kata Mazlan yang juga AJK PAS Pusat.
Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam pula menurut Mazlan adalah antara pemimpin negara yang terlibat secara langsung dalam penubuhan agensi berkepentingan orang Melayu seperti Felda, Mara dan Uda.
Selain tokoh-tokoh itu, turut akan dijemput, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar dan beberapa tokoh lain.
"Ini bukan isu PAS atau Anak, ini isu masa depan tanah orang Melayu.
"Belum terlambat beliau (Tun Abdullah) untuk menasihati Najib mempertimbangkan semula," katanya.
Sementara itu, Himpunan Oren mensasarkan 20,000 penyertaan.
Mereka dijadual berarak dari Masjid Wilayah Jalan Duta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan turun sendiri mengepalai himpunan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.