Oleh: WFAUZDIN NS
MUHYIDDIN YASSIN selaku TPM terus tidak segan silu menipu rakyat.
Mungkin beliau kini kehabisan modal lagi untuk mengajak rakyat terus
bersama parti korup yang bernama Umno. Mungkin juga beliau mahu `cover'
malunya apabila dihentam oleh DS Anwar Ibrahim apabila Ketua
Pembangkang ini mengajak beliau bersama-sama dedahkan akaun atau
kekayaan masing-masing.
Di Kuala Nerang, TPM berterusan menggunakan modal lapuk lagi usang untuk
menyerang PR terutamanya PAS kerana di Kedah sekarang PAS mengetuai
kerajaan. Saya mahu menjawab hujah-hujah lapuk Muhyiddin itu kerana
bagi saya hujah Muhyiddin terlalu `low class' untuk dijawab oleh
pimpinan kita.
Beliau menyebut bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan sesiapa
mengundi PAS mendapat pahala sedangkan sebelum ini Nik Aziz mendakwa
sesiapa yang mengundi PAS akan masuk syurga manakala mengundi Umno akan
masuk neraka. Jelas, Muhyiddin menipu apabila beliau mendakwa Tuan Guru Nik Aziz ada mendakwa `mengundi PAS masuk Syurga, mengundi Umno masuk Neraka".
Bahkan, Tuan Guru Nik Aziz pernah mencabar pemimpin-pemimpin Umno
termasuk para Mufti menunjukkan bukti bahawa beliau ada berkata
sedemikian.
Apa yang sering disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz adalah, menyokong
perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dengan niat untuk menegakkan Islam
itu berpahala, sebaliknya sesiapa yang menyokong mana-mana golongan
yang menentang perjuangan Islam atau golongan yang memperjuangkan dasar
kebangsaan semata-mata, dasar komunis atau apa jua dasar yang
bertentangan dengan Islam akan mendapat dosa. Apabila disebut pahala,
Allah telah menjanjikan Syurga manakala jika disebut dosa Allah
menjanjikan Neraka. Ini bukan soal PAS atau Umno, tetapi soal hukum
memperjuangkan Islam. Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebut jika Umno
sanggup memperjuangkan Islam, PAS akan dibubarkan dan semua ahli PAS
akan bersama Umno dan biarlah Umno memerintah negara ini sehingga
kiamat.
Mengapa begitu jahilnya Muhyiddin yang dikatakan bapanya seorang yang
kuat agama ini? Memanglah urusan Syurga dan Neraka itu hak Allah, tetapi
sebagai hambanya Allah perintahkan kita untuk menurut kehendak Islam.
Adakah jika kita menurut kehendak Islam, maka Allah tempatkan kita ke
Neraka? Contohnya mudah, Allah halalkan minum susu lembu dan Allah
mengharamkan minum arak. Jika kita minum arak juga, adakah Allah
letakkan kita ke Syurga?
Muhyiddin juga menunjukkan kejahilannya di dalam hukum terhadap rakyat yang menerima BR1M sebanyak RM 500 itu. Katanya, apabila
kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), PAS mengeluarkan
fatwa ia adalah rasuah tetapi anggota (parti) mereka tetap
mengambilnya. Kalau rasuah janganlah terima, kata Muhyiddin. PAS
tidak pernah mengatakan penerima BR1M itu sebagai penerima rasuah,
malahan PAS sentiasa menyeru rakyat agar mengambilnya.
Apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai rasuah itu adalah jika si penerima
BR1M itu mengambil wang berkenaan, dan dengan mendapat wang tersebut
beliau sanggup mengikut kehendak si pemberi dengan menyokong Umno/Bn
maka itulah rasuah namanya dan ianya tetap wang rasuah. Sebaliknya,
jika rakyat menerima wang berkenaan dan tidak berubah pendirian mereka,
maka wang itu bukan rasuah dan wang itu memang hak mereka yang
sepatutnya mereka terima. Ertikata lain, pemberian wang atau projek
atau bantuan sebanyak mana sekali pun selagi tidak mempengaruhi mereka,
maka ianya bukan perbuatan rasuah. Susah sangatkah Muhyiddin mahu
menafsirkan erti rasuah ini?
Kata Muhyiddin lagi, Pakatan pembangkang mengeluarkan Buku Jingga yang merupakan janji-janji mereka jika berjaya menawan Putrajaya tetapi kalau diteliti, jika ia dilaksanakan, boleh menyebabkan negara muflis. Hujah bengap dari Muhyiddin ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat yang berakal kecuali mereka yang bersekongkol dengan lembu-lembu kondo. Muhyiddin patut sebut di bahagian manakah di dalam Buku Jingga yang boleh menjadikan negara ini bankrap? Penurunan harga minyak? Kemudahan wifi percuma? Penghapusan Tol? Beliau tidak berani sebut kerana jika beliau sebut menampakkan lagi kebebalannya. Semua hujah Muhyiddin tersebut telah dijawab awal lagi oleh DS Anwar. Sebab itulah DS Anwar berkali-kali mencabar Najib atau Muhyiddin untuk berdebat mengenai Buku Jingga.
Masalahnya, pemimpin Umno tidak mampu untuk berhujah dengan DS Anwar
kerana mereka tahu apa yang terkandung di dalam Buku Jingga itu releven
dan boleh direalisasikan. Cuma Umno sahaja tidak mampu melaksanakannya
kerana Umno dan rasuah tidak boleh dipisahkan. Tidak ada negara yang
dasarnya membantu rakyat dan tidak rasuah boleh bankrap. Apa yang
selalu kita lihat negara menjadi bankrap apabila negara tidak dapat
diurus dengan baik, telus dan amanah. Kita masih ingat, sewaktu
awal-awal PR memerintah Selangor dengan memperkenalkan air percuma dan
beberapa insentif lain untuk kebajikan rakyat Selangor, pemimpin Umno
memberi amaran kerajaan di bawah Tan Sri Khalid itu hanya mampu bertahan
3 bulan sahaja. Sekarang terbukti, hampir sepenggal PR memerintah
Selangor, usahkan bankrap malahan bertambah kantung simpanan Selangor
melebihi 1 Bilion. Sekali lagi Muhyiddin menunjukkan kecetekan beliau
di dalam membicarakan soal ekonomi.
Kunci pertama untuk kita menilai samada pemimpin Umno ini ikhlas atau menipu rakyat amat mudah. Pertama, kita lihat rekod 50 tahun lebih mereka mentadbir negeri atau negara ini. Adakah kita semakin senang atau susah?
Adakah kita boleh mendabik dada mengatakan kita kini hidup di dalam
kesenangan hanya kerana mendapat BR1M sebanyak RM500 dan pemberian RM15,
000 buat Peneroka Felda? Kita jangan mengukur kesenangan hidup hanya
dengan duit, itu pun setelah mereka memerintah lebih 50 tahun baru
mereka mahu menghulur sebanyak itu. Sudah berapa banyak wang rakyat
lesap ditelan oleh mereka selama berpuluh tahun sebelum ini?
Keduanya, jika pemimpin Umno ini benar-benar ikhlas dan jujur mereka
pasti akan sanggup berdepan dengan cabaran DS Anwar untuk berdebat di
dalam soal ekonomi negara. Apa yang perlu mereka takutkan jika
mereka benar? Apa yang mereka mahu khuatirkan jika mereka tidak rasuah
dan menyeleweng? Kononnya DS Anwar akan bankrapkan negara, kononnya DS
Anwar tidak boleh mengurus ekonomi negara, jika mereka ada hujah
sedemikian alangkah baiknya jika mereka gunakan hujah-hujah mereka untuk
menangkis Buku Jingga yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat di dalam
perdebatan. Ketika itu, jika rakyat merasakan hujah pemimpin Umno itu
betul maka sudah tentu rakyat tidak mempercayai janji-janji Pakatan
Rakyat. Tetapi, jika rakyat pula melihat bahawa terbukti Umno
mengamalkan rasuah dan penyelewengan, maka sudah pasti rakyat akan
menolak Umno. Itulah sebenarnya yang amat ditakuti oleh Najib dan
Muhyiddin.
Sehubungan itu, tiada sebab rakyat di Kedah, Selangor, P.Pinang,
Kelantan dan Perak untuk menukar kerajaan yang mereka pilih pada Tahun
2008 yang lalu. Bahkan, di negeri-negeri lain juga mereka telah melihat
betapa jauh bezanya umpama langit dan bumi pemerintahan di bawah
Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan (kecuali Perak yang telah
dirampas oleh lanun) berbanding ketika berada di bawah Umno/Bn. Maka,
tiada sebab untuk rakyat tidak memilih Pakatan Rakyat bagi mengambil
alih Putrajaya kecuali mereka yang buta hati sahaja yang masih
mengharapkan parti penuh rasuah ini untuk terus berkuasa./wfauzdin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.