Khamis, 28 Jun 2012

DAP bantah PRU13 musim haji

Nurul Aini Mohamed Ali

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng melahirkan pendirian partinya mengenai desas-desus PRU13 diadakan musim haji.
 
 
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan pendirian partinya membantah dengan sekeras-kerasnya jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada musim haji kerana ia tidak adil bagi umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Guan Eng berkata, beliau berasa tidak senang hati jika PRU diadakan semasa umat Islam mengerjakan rukun Islam kelima itu kerana ia akan melibatkan kira-kira 30,000 orang.

"Jika PRU diadakan semasa musim haji, ini jelas menunjukkan taktik kerajaan kita cuba memecahbelahkan rakyat sendiri," tegas beliau dalam Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam? di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Pusat jangan cuba menguji rakyat dengan cara ini kerana kerajaan seharusnya faham situasi rakyat bagi mengelakkan mereka berasa dilema.

"Saya menolak PRU diadakan pada musim haji. Ini juga sama jika PRU diadakan semasa rakyat bukan Islam menyambut perayaan masing-masing.

"Tidak adil jika PRU diadakan semasa rakyat menyambut Tahun Baru Cina dan perayaan Deepavali," tambah beliau, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini turut sebulat suara menentang PRU diadakan semasa musim haji tahun ini.

Pendirian yang sama dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuk yang terbaru Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, antara lain berkata mengadakan pilihan raya pada musim haji bercanggah dengan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.