Selasa, 29 Mei 2012

Ceramah Anwar terus diganggu

 
Selepas Lembah Pantai kejadian sama juga berlaku di Parlimen Semberong yang diwakili Datuk Seri Hishamuddin Husein.




PETALING JAYA: Ceramah-ceramah politik Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diganggu. Selepas  Lembah Pantai, ia berjangkit ke Parlimen Maran di Pahang dan Parlimen Semberong di Johor.

Parlimen Maran diwakili Datuk Ismail Mutalib yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) manakala Parlimen Semberong oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri.

Jika di Lembah Pantai, ada orang yang mengalami kecederaan perkara sama berlaku di Semberong.
Ketua AMK negeri, Mohd Nazri Ismail cedera di tangan dan bahu ketika membuat perisai manusia berikutan kira-kira 100 samseng cuba menghampiri Anwar yang menuju ke pentas ceramah.

“Beliau  dikeronyok kumpulan samseng sampai terjatuh. Mujur sempat diselamatkan beberapa ahli AMK lain.

“Seorang lelaki tua bertongkat juga rebah berikutan suasana kacau bilau itu.Seorang lain pula cedera di dahi akibat terkena mercun,” kata Ketua PKR Batu Pahat, Syed Hamid Ali.

Karaoke lagu Mandarin

Bagaimanapun, Naib Ketua Umno Semberong, Nor Azman Hassan ketika dihubungi mendakwa beliau tidak mengetahui kejadian tersebut.

Di Maran, MCA  mengadakan program karaoke berhampiran Pejabat PAS kawasan yang menjadi tempat ceramah Anwar.

Pertandingan karaoke lagu-lagu Mandarin, dengan sistem pembesar suara yang canggih itu kemungkinan besar diadakan dipercayai bertujuan untuk menganggu kelancaran program ceramah Anwar.

Anwar ketika berceramah dilaporkan sebagai berkata,  tidak wajar tindakan menganggu dan membaling batu kepada ceramah Pakatan Rakyat.

“Bagaimanakah jika ahli PAS, PKR dan DAP bertindak balas ? Di mana moralnya ahli Umno, ” kata Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.