KEADILAN DAILY
PETALING JAYA : Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail, hari ini menyelar tindakan pemuda Umno yang sanggup menggunakan kekerasan terutamanya ketika berdepan dengan pimpinan wanita Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian yang menimpa Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, yang hampir dicederakan anggota pemuda Umno ketika ceramah Pakatan Rakyat di Felda Lepar Hilir I baru-baru ini.
“Sikap kurang ajar dan biadap mereka terhadap beberapa pimpinan parti pembangkang dilihat sebagai bukti jelas mereka ini ialah lambang kebiadapan sebuah parti politik bernama Umno.
“Sikap yang ditunjukkan jelas menampakkan betapa ceteknya cara pemikiran anak-anak muda yang dibimbing Umno dalam bicara soal politik.
“Mereka tidak didedahkan dengan kematangan politik nilai tetapi hanya diajar untuk menjadi samseng murahan Umno,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, ekoran kejadian itu, pimpinan Umno perlu bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan anggota parti mereka.
“Srikandi melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan pimpinan pembangkang.
“Segala insiden terdahulu yang telah dilaporkan seharusnya disiasat dengan kadar segera oleh pihak polis bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” ujarnya sambil menyeru kepada anak-anak muda supaya tidak terikut budaya politik samseng yang diamalkan Umno.
Dalam ceramah di Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang, seorang samseng Umno mengacu penumbuk, beberapa inci sahaja dari wajah Nurul Izzah, sebelum sempat dihalang penyokong Pakatan.
Ini hanya satu episod daripada siri serangan samseng Umno terhadap pemimpin Pakatan semasa program ceramah Pakatan Rakyat.
Pada 26 Febuari, sekumpulan samseng Umno naik ke pentas ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang memberi ucapan sempena Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kota, Pulau Pinang.
Minggu lalu, kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu dalam ceramah di parlimen Sembrong, menyebabkan cerminnya retak manakala bahagian sisi kenderaan kemek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.