Selasa, 28 Februari 2012

Melayu mampu berdaya saing tanpa UMNO

Oleh T.K. Tan



Berita tentang kepincangan dan keburukan pemerintahan UMNO-BN telah lama dan luas tersebar dalam alam internet, ceramah dan apa-apa ruang yang gagal disekat oleh pemerintah yang bencikan kebebasan maklumat. Malah, tidak silap jika dikatakan rata-rata mereka yang sering membaca berita melalui laman internet sudah sedia maklum tentang budaya rasuah dan salah guna kuasa UMNO-BN.

Namun kebanyakan orang, terutama yang daripada kaum Melayu, bila ditanya kenapa masih memilih UMNO-BN sebagai wadah pemerintahan mereka, mereka mengeluh kerana tiada pilihan mantap disajikan. Pakatan Rakyat? Hanya nada sinis menjadi jawapan mereka.

Sebagai majoriti penduduk Malaysia, kaum Melayulah penentu masa depan negara ini. Laungan Pakatan “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia” tidak akan menjadi realiti selagi kesemua 60 peratus pengundi Melayu masih memangkah dacing pada pilihan raya umum yang akan datang. Hakikatnya lebih daripada 50 peratus kerusi parlimen Malaysia bermajoritikan pengundi Melayu.

Selagi orang Melayu masih sangsi dengan pilihan alternatif yang ada, maka UMNO-BN akan terus bermaharajalela atas ehsan sokongan pengundi majoriti negara tersayang kita ini. Selagi itu juga penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berleluasa. Kesannya, rakyat menderita teruk.

Di kala berita tentang hakisan sokongan pelbagai kaum lain terhadap BN kian tersebar, satu-satunya tonggak sokongan yang tinggal untuk UMNO ialah pengundi Melayu, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar. Maka tidak hairanlah apa yang difikirkan orang Melayu sebagai sensitif perihalnya (Islam, Melayu, Raja atau 3R – religion, race, royalty) menjadi mainan pimpinan UMNO walau pun kebanyakannya hanya emosi kosong tanpa fakta.

Tongkat DEB

Antara kebimbangan utama orang Melayu ialah takut kehilangan payung naungan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seakan tanpa DEB, Melayu akan melarat di bumi sendiri. Apakah ini benar?

Matlamat asal DEB adalah untuk mengagih khazanah kekayaan negara dengan lebih seimbang antara kaum. Apakah golongan terbanyak, iaitu para pekerja dan peniaga kecil sudah berkongsi manfaat agihan khazanah ini?

Rekod UMNO dalam mengagih khazanah negara amatlah tidak memuaskan. Walau pun pada mulanya ia memberi manfaat, lama-kelamaan ia menjadi senjata UMNO untuk mengikat orang Melayu. Menurut kajian penyelidik Jayanath Apadurai, 43.2 peratus daripada isi rumah kaum Bumiputera mendapat pendapatan di bawah RM2,000 sebulan, yakni pendapatan garis kemiskinan.

Berbanding dengan kaum Cina (21.2 peratus) dan India (31.8 peratus) yang tidak mendapat apa-apa manfaat DEB, ini satu fakta yang memalukan untuk UMNO yang hanya dilihat mengkayakan kroni-kroni mereka yang sudah pun kaya-raya.

Hakikatnya tanpa merujuk kepada apa-apa statistik pun, kebanyakan orang Melayu sedar tentang ramainya penduduk Melayu tergolong dalam kategori miskin tegar.

Kebijakan Pakatan Rakyat

Pemimpin Pakatan Rakyat sedar tentang fakta ini. Contohnya, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan kerajaan Pulau Pinang, PR terus turun padang untuk membantu golongan miskin. Usaha untuk mengenal pasti dan mendaftar mereka yang layak untuk elaun kebajikan masyarakat dipertingkatkan.

Dalam tahun 2008, terdapat 7,462 orang yang berdaftar sebagai penerima elaun kebajikan. Untuk tahun 2010 sahaja terdapat angka ini melonjak kepada 24,529. Jelas masih ramai orang yang miskin diMalaysia.

Kerajaan PR Pulau Pinang juga telah melancarkan program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) untuk mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar. Setakat Julai 2011 ,seramai 741 orang telah layak mendapat bantuan kewangan sejumlah RM 18,8000 sebulan.

Tidak pula PR memilih bulu dalam menghulurkan pertolongan asasi ini. Sejumlah 87 peratus daripada penerima RAK adalah penduduk Melayu manakala 41 peratus daripada penerima RAK menetap di kawasan parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, masing-masing yang disandang oleh bekas perdana menteri dan menteri kerajaan pusat.

Kerisauan kaum Melayu tentang kekurangan upaya mereka dalam bersaing dengan kaum lain sudah pun dibukti salah di Pulau Pinang. Semenjak sistem tender terbuka diamalkan di Pulau Pinang, dari Mac 2008 hingga 2010, sebanyak 70 peratus daripada jumlah kontrak dan 57 peratus daripada nilai kontrak projek kerajaan negeri dimenangi kontraktor Melayu. Ini menunjukkan yang orang Melayu mampu bersaing tanpa tongkat DEB.

Perhidmatan awam bukan milik UMNO

Untuk memastikan sokongan orang Melayu, ramai daripada jawatan awam diperuntukkan untuk mereka. Bagi ramai graduan lepasan IPT Melayu, jawatan awam adalah suatu yang diidamkan kerana pendapatan yang stabil serta faedah sampingan dan saraan yang lumayan.

Namun dasar ini tidak mungkin berkekalan selamanya. Nisbah jumlah penjawat awam kepada jumlah penduduk Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia-Pasifik; Malaysia mempunyai 4.68 peratus berbanding Thailand (2.06 peratus), Korea Selatan (1.85 peratus) dan Indonesia (1.79 peratus).

Singkatnya, lebih ramai penjawat, lebih besar belanjanya. Lebih besar belanjanya, semakin kurang peruntukan untuk pembangunan rakyat berpendapatan rendah. Semakin ramai rakyat berpendapatan rendah tidak dibantu, ia menimbulkan maslaah ekonomi dan sosial yang melibatkan semua golongan rakyat.

Kos gaji dan pencen penjawat awam merangkumi 37.7 peratus (2010) daripada perbelanjaan mengurus tahunan kerajaan pusat yaitu RM 57.43 billion. Ini adalah perbelanjaan tetap; kerajaan tidak boleh mengurangkan perbelanjaan ini tanpa mengurangkan jumlah penjawat awam atau persara pencen.

Sejak krisi hutang negeri Greece tercetus, sektor awamnya dikurangkan dengan drastiknya. Ekoran perjanjian kerajaan Greece dengan Kesatuan Eropah untuk mendapat pinjaman bon demi menampung hidup kerajaan tersebut, perbelanjaan awam dipotong secara mendadak. Pada 18 Februari kerajaan Greece telah terpaksa bersetuju untuk mengurangkan bilangan penjawat awamnya seramai 150,000 orang.

Namun buat masa ini kita tidak perlu mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Apa yang lebih penting ialah memastikan semua pegawai dan kakitangan awam benar-benar profesional dan melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka oleh rakyat. Tentunya pegawai dan kakitangan awam tidak mahu nama mereka diburukkan oleh skandal dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin politik.

Memberdayakan rakyat

Setakat ini tidak ada tanda-tanda UMNO-BN mahu mengubah diri serta mereformasikan sistem yang lemah lagi melemahkan. Jika rakyat khususnya orang Melayu mahukan perubahan, maka alternatifnya adalah Pakatan Rakyat.

Apakah rancangan Pakatan dalam menyelesai krisis ini? Buktinya telah ada. Semenjak mengambil alih kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, ramai belia digalakkan belajar kursus kemahiran industri yang ditampung oleh kerajaan negeri dan menceburi bidang perniagaan secara terus.

Di Selangor, melalui Tabung Anak Pekerja Peladang, belia dari kumpulan miskin dibiayai kursus pembelajaran dan sara hidup sepanjang pembelajaran kemahiran teknikal di kolej INPENS Selangor.

Pengusaha negeri Selangor juga diperuntukkan pinjaman mikrokredit melalui MiMBAR dan SKIMSEL yang telah dimanfaatkan oleh lebih daripada 1500 orang setakat September 2011.

Di Pulau Pinang mereka yang dibantu melalui RAK digalakkan belajar buat kraftangan untuk menampung kehidupan. Sejak kempen “Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari” kerajaan PP telah mengedarkan beg buatan diperbuat daripada banting terpakai oleh penerima bantuan RAK.

Walau pun usaha ini nampaknya kecil, hendaklah diingatkan yang kerajaan negeri PR mempunyai dana yang terhad untuk membuat program yang lebih substantif. Belanjawan Selangor untuk 2012 berjumlah sekitar RM 1.5 billion, iaitu kira-kira 1 peratus daripada jumlah belanjawan kerajaan persekutuan.

Untuk mengupah kakitangan kerajaan negeri, banyak prosedur penjawatan perlu dilalui yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, sebuah agensi kerajaan pusat.

Pakatan telah meletakkan matlamat untuk mengupayakan rakyat dengan menaikkan mutu pendidikan tinggi, meningkatkan produktiviti melalui latihan berterusan (yakni latihan teknikal, vokasional dan industri) dan menggalakkan warga negara yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyediakan suasana kerja yang professional dan menarik.

Sebagai tonggak dan penentu hala tuju politik tanahair, orang Melayu sebagai kaum majoriti memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan masa depan negara kita yang dikongsi bersama ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.