MALAYSIA KINI
Semua ketua setiausaha (KSU) kementerian akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula jawatan mereka secara kontrak, lapor Utusan Malaysia Online.Akhbar milik Umno yang memetik sumber itu melaporkan tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada program transformasi dalam perkhidmatan awam. Di bawah program itu Skim Saraan Malaysia (SSM) akan diganti dengan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA).
Menurut laporan berkenaan, prestasi semua KSU itu akan dinilai dalam tempoh kontrak tersebut.
Selain itu, Utusan juga melaporkan skim jawatan utama atau premier perkhidmatan awam, peringkat JUSA dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.
Dengan cadangan itu bermakna, mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.
Akhbar milik Umno itu juga memetik sumber sebagai berkata, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian.
KSU yang berada dalam kategori JUSA tertinggi dan Turus adalah sama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat.
Bagaimanapun, menurut Utusan lagi, tidak diketahui sama ada pengisian jawatan-jawatan tertinggi itu akan mengambil kira kouta berdasarkan kaum.
Akhbar itu turut melaporkan satu taklimat kepada pegawai-pegawai peringkat utama dan ke atas telah dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minggu lalu.
Buat sementara, lima buah kementerian dilaporkan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kaedah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.