Sabtu, 26 November 2011

PAS: Transformasi Umno-BN burukkan keadaan, rakyat kena kata ‘Cukup’

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — PAS mendakwa Umno mengambil langkah mudah bersifat murahan untuk menipu rakyat atas nama melakukan transformasi politik tetapi ia membawa kepada keadaan “lebih teruk” termasuk ekoran penggubalan akta berkenaan perhimpunan aman.

Sehubungan itu Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, rakyat perlu mengatakan “Cukup” kepada pembohongan Umno dan tunjukkan kepada para pemimpin parti itu yang bermuka-muka bahawa rakyat Malaysia tidak sebodoh dan semurah yang mereka tanggapkan.

Kata beliau, kini rakyat hanya mempunyai satu jalan keluar untuk mendapatkan transformasi yang diharapkan untuk negara iaitu menunjukkan jalan keluar bagi Umno dalam pilihan raya umum ke-13.

Tuan Ibrahim menambah Umno, parti teras Barisan Nasional (BN), sanggup mengambil langkah murahan selain memberi gula-gula pilihan raya demi bagi menutup skandal besar yang tidak terjawabnya saban hari.

“Selepas kegagalannya meningkatkan pendapatan kebanyakan rakyat jelata, kerajaan Umno-BN mengambil langkah mudah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia, kini muncul pula terbaru Kedai Ikan Satu Malaysia yang menjanjikan pelbagai jenis ikan dengan harga yang murah,” kata beliau dalam satu kenyataan yang menyentuh perkembangan termasuk langkah pentadbiran Najib menggubal Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.

Rang undang-undang itu, yang bertujuan menggantikan Seksyen 27 Akta Polis, mendapat kritikan dan kecaman ramai atas alasan mengekang teruk kebebasan rakyat.

Ekoran tekanan itu Kabinet dalam mesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan membawa beberapa pindaan ke atas peruntukan rang undang-undang itu.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Umno turut mengambil langkah mudah dalam membendung kemarahan rakyat menuntut hak kebebasan berhimpun dengan percubaan membodohkan rakyat bahawa mereka sedang berubah dengan mengemukakan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011, yang hanya “harum namanya, tetapi lebih kejam daripada akta sebelumnya.”

Setelah melihat kemarahan para mahasiswa yang kian meningkat terutamanya setelah nasib yang melanda Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kerajaan Umno-BN dilihat sekali lagi mengambil langkah mudah untuk meredakan keadaan dengan mengumumkan pemindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik.

“Tetapi pada masa yang sama tetap merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengistiharkan Seksyen 15 AUKU tidak sah dari segi perlembagaan,” kata Tuan Ibrahim.

Tambah beliau, semua langkah mudah yang diambil oleh kerajaan Umno telah memberikan signal jelas kepada rakyat bahawa para pemimpin Umno sememangnya “tidak ikhlas, tidak ingin berubah, dan malah sedang bertransformasi ke arah lebih teruk” kerana tidak berfikir panjang sebelum mengemukakan sesuatu.

Malah kata beliau, segala langkah mudah yang diambil Umno bermotifkan keuntungan politik pendek semata-mata dan hanyalah taktik murahan untuk mendapat undi rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 yang semakin mendekat.

Jelas Tuan Ibrahim, kecelaruan dan kenaifan pemikiran pemimpin Umno dalam mengambil langkah mudah ini turut membuktikan kebimbangan mereka dengan perubahan kesedaran politik rakyat kini.

“Skandal (projek ternakan lembu) National Feedlot Corporation dan RUU Perhimpunan Awam 2011 telah menyedarkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk mengiatkan kempen ‘Asal Bukan Umno’ demi menyelamatkan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.