Sabtu, 26 November 2011

Najib: Ahli Umno kena terbuka terima calon boleh menang

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata calon boleh menang mestilah seseorang yang boleh diterima majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti.

Perdana Menteri berkata sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa.

“Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti) tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal,” katanya kepada Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, hari ini.

Dipetik Bernama Online, Presiden Umno itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami maksud calon boleh menang yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya.

“Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau calon boleh menang tu ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tak akan berjaya,” kata Najib.

Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di peringkat bahagian Umno.

Tetapi menurutnya, “rumusan calon boleh menang itu adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk menang.”

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif.

“Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan,” katanya.

Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang.

“Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang).

“Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak mengikut selera atau kehendak kita,” katanya.

Najib (gambar) berkata, banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan akhirnya calon akan menang.

“Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa,” katanya.

Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada ialah disiplin parti.

“Maknanya bila sampai pada masanya (pemilihan calon), keputusan itu perlu diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti,” katanya.

Katanya, kriteria pemilihan calon ini difikirkan wajar berikutan keputusan pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional dan Umno tewas di lima buah negeri dan perlu menjadi pengajaran yang tidak harus dilupakan.

Menggunakan analogi semangat dan perjuangan skuad Harimau Muda yang menggondol pingat emas pada Sukan SEA Ke-26 di Jakarta-Palembang baru-baru ini, walaupun menghadapi cabaran sengit, beliau berkata Umno juga perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pilihan raya.

“Kalau kita ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi.

“Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga,” katanya.

Mengenai pengundi muda, beliau berkata sudah terbukti dalam pilihan raya kecil sejak dua tahun yang lepas, biasanya majoriti golongan itu menyokong Umno.

“Bererti sudah terbukti bahawa tidak semestinya orang muda bersikap 'anti-establishment' (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu parti BN, mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri mereka sebagai orang muda,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.