MTUC sebelum ini membantah pindaan terbaru yang menyediakan peruntukan kontroversial sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Ia telah mengadakan piket pada 3 Oktober lalu di pekarangan Parlimen dan peringkat nasional pada 3 November. Seterusnya, satu perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini.
Setiausaha Kewangannya Alias Awang Ibrahim berkata, badan induk itu yang dianggotai 390 kesatuan akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan-pindaan yang dibawa ke atas Akta Kerja sekarang.
“Jika ia diluluskan di Dewan Negara pada 12 Disember, maka MTUC akan mengisytiharkan perang ke atas mereka (kerajaan). Tiada ruang untuk berkompromi,” kata beliau pada Kongres Nasional PKR di sini hari ini.
Pindaan itu sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dan kini tunggu giliran Dewan Negara.MTUC sudah pun memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 5.7 juta pekerja akan membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pentadbirannya enggan mendengar suara mereka.
Kongres itu telah menulis surat kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.
Minggu lalu, Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini, tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja.
Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.