Ahad, 27 November 2011

Menteri Haji Saudi terima Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA – Menteri Haji Arab Saudi Dr Fouad Abdul Salam dianugerah Tokoh Maal Hijrah antarabangsa manakala Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menyampaikan wang tunai RM100,000, sumbangan Yayasan Ubadi sebanyak RM10,000, medal tokoh Maal Hijrah, plak cenderamata sijil penghargaan kepada Dr Abdul Shokur di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Fouad, 65, yang tidak dapat menghadiri majlis itu akan menerima penghormatan itu pada satu majlis khas nanti.

Abdul Shukor, 69, yang juga Timbalan Pengerusi Akademi Fiqh Sedunia (OIC) dan Ahli Lembaga International Shariah Research for Islamic Finance (ISRA), Bank Negara Malaysia, memanjangkan penghargaan terhadap penghormataan dan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Abdul Shukur meminta setiap umat berpegang kuat kepada amalan mulia yang membina perwatakan baik dan dihormati.

“Sebagai umat Islam kita perlu meneruskan tradisi yang baik bagi terus maju dengan mengenepikan idea dan provokasi yang berunsur negatif. Kita juga perlu bersatu padu sebagai rakyat negara ini walaupun berbeza dari segi politik,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’, adalah selaras dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama serta saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah supaya matlamat negara maju menjelang 2020 dapat direalisasi.

Sebanyak 122 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perhimpunan itu yang membabitkan hampir 5,000 penyertaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.