Nyamuk TOXO yang dibawa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang adalah spesis nyamuk yang jentik-jentiknya memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Tetapi nyamuk tersebut tidak menggigit manusia.
Program pelepasan yang dirasmikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim itu merupakan kerjasama antara pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), CIMB dan USM. Ia menerusi satu M.0.U yang ditandatangani pada Julai 2009 dengan peruntukan sejumlah RM60,000.
Teresa dalam ucapannya menjelaskan, nyamuk Toxo adalah spesies nyamuk yang dijumpai di kawasan hutan dan memerlukan persekitaran yang mempunyai tumbuh-tumbuhan untuk hidup dengan baik.
Katanya, nyamuk jenis ini tidak menggigit manusia, sebaliknya hanya memakan madu bunga.
"Pihak MPSJ telah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai untuk melepaskan nyamuk Toxo dan Kampung Seri Aman adalah salah satu lokasi yang didapati sesuai.
Melalui pra-kajian yang dilakukan, MPSJ telah meletakkan 60 MLTD dan keputusan yang diperolehi mengesahkan kesesuaian tempat ini untuk pelepasan nyamuk Toxo," ujar Teresa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara.
Program pelepasan nyamuk Toxo sebelum ini telah dilaksanakan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar di USJ 1 pada JUn lalu, namun ia menghadapi masalah ekoran tindakan pihak pemaju yang memulakan kerja pemajuan dan mengganggu pengumpulan data keputusan kajian.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohd Hussin dan Dekan Fakulti Pengajian Hayat USM, Profesor Abu Hasan Ahmad.
Dalam pada itu, Teresa turut memaklumkan, setakat ini sebanyak 368 kes denggi telah dilaporkan di kawasan pentadbiran MPSJ di mana 202 kes adalah positif dan satu kematian dicatatkan tahun ini.
Bagaimanapun ujar beliau, walaupun kes denggi menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, faktor cuaca yang tidak menentu terutamanya musim hujan sekarang ini menyebabkan banyak wujudnya takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Justeru menurutnya, penubuhan Skuad Denggi JKP Zon 12 dilihat sebagai projek perintis bagi menggerakkan masyarakat setempat dalam usaha mencegah dan mengawal demam denggi.
"Sebagai projek perintis, skuad denggi yang ditubuhkan ini akan diberi latihan dan tunjuk ajar oleh pihak Jabatan Kesihatan MPSJ.
Antara peranan dan aktiviti skuad ini adalah memastikan kawasan mereka bebas dari tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes selain dari membantu memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada masyarakat setempat tentang cara terbaik untuk mencegah dan mengawal demam denggi," katanya.
Ujar beliau lagi, untuk pelancaran program kali ini, MPSJ telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.